Menyalahkan pemimpin terdahulu dan melihat kesilapan pada individu lain sehingga membuatkan lupa kepada kesalahan sendiri sudah menjadi sebahagian daripada budaya politik yang diamalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad secara konsisten. Sekitar tahun 1960an dan 1970an beliau sering mengkritik dasar dan pendirian Tunku Abdul Rahman. Tun M dilihat mewujudkan persengketaan secara sengaja apabila sebarang pandangan beliau tidak didengari.

Sifat diktator itu sudah jelas sejak dari awal lagi dan Pakatan Harapan (PH) yang mengalami desakan kepimpinan terpaksa mengambil langkah ke belakang apabila menerima Tun M sebagai Pengerusi gabungan politik berkenaan. Langkah PH ini merupakan satu silap mata paling ajaib pernah disaksikan di Malaysia sepanjang tahun ini. Namun itu bukan satu hal yang besar kerana PH tidak pernah mengambil peduli soal prinsip dan perjuangan, yang menjadi keutamaan ialah menjatuhkan Kerajaan.

Prinsip matlamat menghalalkan cara sudah menjadi sebahagian daripada falsafah dalam seni politik Tun M. Beliau tidak kisah untuk berada di mana-mana kem yang menyebelahinya. Inilah budaya politik yang cuba dibentuk Tun M di dalam PH yang saban waktu semakin meresap dan memberi kesan. PH jelas tidak belajar dari sejarah lepas tentang bagaimana Tun M boleh berubah-ubah pendirian mengikut kepentingan dan kesesuaian kepada faedah matlamat politik beliau.

Semalam dalam satu program dialog bersama-sama Anak Muda, Tun M sekali lagi mengeluarkan kenyataan yang jelas cuba memanipulasi keadaan di samping mengelirukan golongan muda yang tidak memiliki pencerahan tentang keadaan sebenar. Apabila disoal tentang penyalahgunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh beliau untuk menahan musuh politik, Tun M berdalih dengan mendakwa hanya 1,200 orang ditahan di bawah ISA sepanjang 22 tahun pentadbiran beliau.

Lebih mengecewakan Tun M turut mengaitkan bahawa ISA telah digunakan dengan lebih kerap di bawah pentadbiran Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn. Malah Tun M mendakwa sepanjang 13 tahun pentadbiran Tunku Abdul Rahman lebih 2,000 orang telah ditahan dibawah ISA. Namun apa yang membuatkan kenyataan Tun M ini sebuah kenyataan separuh masak apabila Tun M gagal mengulas mengenai situasi semasa pada zaman pentadbiran Tunku Abdul Rahman.

Anak-anak muda perlu faham bahawa kenyataan Tun M itu sekadar satu kenyataan untuk melepaskan diri dan tidak bertanggungjawab. Pemahaman yang betul perlu diberikan kerana jumlah tangkapan di bawah ISA semasa pentadbiran Tunku Abdul Rahman lebih tinggi kerana beliau pada masa itu menggunakan ISA untuk memerangi pengganas komunis dan bukannya menangkap musuh politik.

Malah penggunaan ISA dianggap sebagai salah satu kaedah paling berkesan semasa zaman Tunku yang membolehkan Malaysia meminimumkan pengaruh ideologi komunis di rantau ini. ISA digunakan sebagai pembendung dan pencegah, bukan seperti Tun M yang menggunakan ISA sebagai pelindung untuk dirinya. Inilah hal sebenar yang perlu dijelaskan kepada umum khasnya anak-anak muda.

Sikap Tun M ini secara tidak langsung membuatkan anak-anak muda memandang serong terhadap usaha dan perjuangan Tunku. Malah kenyataan ini jelas satu tindakan tidak adil dan hanya mahu mengelak daripada diri sendiri diselubungi rasa bersalah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here