Sudah sampai masanya untuk pihak kerajaan mempertimbangkan bagi menubuhkan satu pasukan “Suruhanjaya Siasatan DiRaja” atau RCI bagi menyiasat tahap keselamatan khusus yang berkaitan dengan tahap keselamatan berkaitan dengan aspek pencegahan kebakaran di semua sekolah dan pusat tahfiz dalam negara kita.

Ini susulan tragedi kebakaran yang berlaku di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur pagi Khamis yang lalu yang menyaksikan kematian seramai 25 orang majoritinya adalah pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Berdasarkan rekod, sudah terlalu banyak kejadian kebakaran yang berlaku di sekolah dan pusat tahfiz dalam negara kita. Kejadian terburuk pernah berlaku hampir 28 tahun yang lalu apabila asrama perempuan, atau Madrasah, di Madrasah Taufiqiah Al-Khairiah atau “Pondok Pak Ya” di Guar Chempedak, Kedah musnah dijilat api. Kira – kira 27 orang pelajar termasuk kanak – kanak perempuan telah terkorban.

Memandangkan isu ini sudah mula mendapat perhatian masyarakat antarabangsa serta sudah mula mengundang kegelisahan dikalangan orang ramai dalam negara kita khususnya golongan ibu bapa yang menghantar anak – anak mereka ke sekolah dan pusat tahfiz diseluruh negara mengenai tahap keselamatan yang disediakan oleh semua sekolah dan pusat tahfiz. Penubuhan Suruhanjaya Siasatan DiRaja atau RCI adalah perlu bagi menyiasat dengan lebih terperinci lagi serta dengan bebas mengenai isu berkenaan serta mencari jalan penyelesaian yang sesuai bagi memastikan semua sekolah dan pusat tahfiz dalam negara kita berada dalam selamat untuk dihuni oleh para pelajar dan kakitangannya.

DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh memberi perkenan baginda terhadap cadangan jika dimohon dari pihak kerajaan untuk menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan seperti yang jelas termaktub dibawah di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Seksyen Akta 119 terbabit jelas memperuntukkan bahawa DYMM Yang di-Pertuan Agong (YDPA) boleh, jika didapatinya sesuai dan manfaat berbuat demikian, mengeluarkan suatu tauliah melantik seorang Pesuruhjaya atau lebih dan memberi kuasa Pesuruhjaya itu untuk menyiasat (a) kelakuan mana – mana pegawai persekutuan; (b) penjalanan atau pengurusan mana – mana jabatan perkhidmatan awam Malaysia; (c) penjalanan atau pengurusan mana – mana institusi awam yang tidak semata – mata  disenggarakan dengan kumpulan wang Negeri; atau (d) apa – apa perkara lain yang siasatannya, pada pendapat Yang di-Pertuan Agong, berfaedah bagi ”kebajikan awam”.

Perkataan kebajikan awam ini adalah luas yang boleh meliputi isu seperti yang telah dibangkitkan diatas. Penubuhan sesebuah Suruhajanya Siasatan DiRaja ini bukanlah satu perkara yang baru dalam negara kita, ia telah dilaksanakan banyak kali setiap kali wujudnya isu – isu yang melibatkan keselamatan nasional, kesejahteraan dan kebajikan awam dalam negara kita seperti Suruhajaya Siasatan DiRaja yang melibatkan kecederaan yang berlaku pada Dato’ Sri Anwar Ibrahim pada tahun 1999, Isu Video Klip Lingam pada tahun 2007, kes Teo Beng Hock pada tahun 2010, Suruhanjaya Siasatan Diraja yang menyiasat isu mengenai pendatang asing Sabah 2012 serta yang terbaru yang melibatkan kes kerugian akibat urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar tahun 1990an yang lalu.

Semoga dengan adanya RCI ini, semua pihak dapat mengetahui dengan lebih jelas mengenai tahap keselamatan sebenar yang disediakan oleh setiap sekolah dan pusat tahfiz dalam negara kita, mencari kelemahan – kelemahan sedia ada di sekolah dan pusat berkenaan serta yang paling penting mencari jalan penyelesaian bagi meningkatkan tahap keselamatan serta menjamin keselamatan semua pihak khususnya para pelajar yang berada di sekolah dan pusat tahfiz berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here