APABILA PAS mula bercakap tentang sasaran mereka untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak, ramailah pihak terutamanya Pakatan Harapan (PH) menyifatkan impian parti Islam itu sekadar fantasi dan mimpi. Malah, Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam reaksi beliau baru-baru ini secara terang-terangan mengumpamakan sasaran PAS dalam hal ini sebagai sebuah “angan-angan Mat Jenin”.

Namun, perumpamaan yang sama boleh diberikan kepada PH yang nampaknya turut bernafsu besar untuk membentuk kerajaan di peringkat pusat. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, Presiden AMANAH Mohamad Sabu mendakwa bahawa “Tsunami Melayu” yang bakal melanda pada PRU14 nanti akan memberikan kelebihan kepada PH untuk menumbangkan BN, sekaligus menyaksikan perubahan kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah PRU negara. Tambah beliau lagi, faktor Mahathir sebagai bakal perdana menteri juga dilihat sebagai satu daya penarik dalam merebut undi orang Melayu.

UMNO Dan PAS Teras Orang Melayu

UMNO-PAS1-1

Agak hairan juga bagaimana Mohamad Sabu dan PH sendiri begitu berkeyakinan bahawa undi orang Melayu akan menyebelahi mereka. Sekadar mengambil respon dan maklum balas para penyokong pembangkang di majlis-majlis ceramah mereka tidak cukup untuk menggambarkan realiti politik semasa di lapangan. Jika PAS tidak keluar dan berpatah arang dengan gabungan pembangkang sedia ada, mungkin PH mempunyai asas yang baik untuk berpegang dengan keyakinan sedemikian.

Hakikatnya di negara ini hanya terdapat dua parti Melayu yang mempunyai asas penyokong yang kukuh iaitu UMNO dan juga PAS. Sejarah panjang yang dimiliki kedua-dua parti ini dalam menempuh badai politik negara memberikan isyarat jelas kepada kita bahawa UMNO dan PAS akan terus kekal relevan sebagai tempat ‘berpaut’ orang Melayu di negara ini. Justeru, sebarang bentuk “tsunami politik” yang mengasingkan faktor tersebut masih terlihat jauh daripada hakikat sebenar. Ia hanyalah sekadar satu cakap-cakap kosong yang mungkin dikeluarkan dengan tujuan meraih semula momentum politik yang semakin perlahan, atau mungkin sekali telah pun hilang.

Faktor Mahathir Sebagai Bakal PM

image (7)

Sokongan Melayu terhadap PH mula menunjukkan penurunan sebaik sahaja pakatan itu mengumumkan pencalonan Mahathir sebagai bakal perdana menteri jika mereka berjaya menundukkan BN pada PRU nanti. Situasi tersebut jelas tidak sukar untuk difahami. Sejak sekian lama penyokong pembangkang mengharapkan reformasi acuan ketua de facto mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi tunjang perubahan yang diinginkan, tetapi akhirnya harapan itu hancur dan berkecai apabila PPBM muncul dan Mahathir sendiri mula mendominasi agenda perjuangan PH.

Mencalonkan veteran politik itu sebagai perdana menteri dilihat sebahagian besar pendokong tegar reformasi sebagai kesilapan terbesar yang dibuat pembangkang, seolah-olahnya PH tidak langsung memiliki calon lain yang layak untuk mengetuai kerajaan yang ingin dibentuk. Memilih Mahathir bermakna memilih jalan dan langkah ke belakang. Tentunya ia menghantar satu mesej yang salah kepada rakyat untuk segera memaafkan dan “menghalalkan” segala bentuk kesilapan yang dilakukan bekas perdana menteri itu sedangkan legasi pemerintahan beliaulah yang selama ini begitu keras dikritik pembangkang.

Kekecewaan Pendokong Perubahan

Maka kita tidaklah hairan mengapa hari ini perkataan #UndiRosak begitu tular dan meluas digunakan di pelbagai platform media sosial. Ianya adalah satu bentuk protes terus kepada keputusan PH yang mahu menjadikan Mahathir sebagai perdana menteri pasca PRU kelak. Bagi kebanyakan mereka yang menyokong kempen #UndiRosak ini, khususnya anak-anak muda, apalah gunanya keluar mengundi blok pembangkang yang ada pada hari ini sekiranya PH sendiri menjadikan seorang bekas “diktator” sebagai pemimpin utama mereka. Meletakkan seorang anti-reform sebagai perdana menteri nyata tidak akan membawa sebarang bentuk perubahan yang diinginkan.

Apatah lagi Mahathir sendiri seorang yang begitu paranoid bila bercakap soal kuasa dan jawatan. Katanya, telah berlaku begitu banyak kerosakan di bawah pemerintahan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Malah Mahathir sendiri mendakwa pentadbiran Najib adalah pentadbiran yang cukup korup. Justeru, beliau memberikan cadangan agar pemerintahan seorang perdana menteri dihadkan untuk dua penggal sahaja. Sungguh ironi untuk melihat seorang “negarawan” bercakap dan mengkritik dirinya sendiri yang bukan sahaja memerintah untuk dua penggal, ia bahkan lebih dua dekad!

Tidak cukup dengan itu, beliau ingin kembali semula menjadi seorang perdana menteri buat ke sekian kalinya. Jika tempoh lebih dua penggal dikatakan penyebab seseorang pemimpin itu boleh menjadi korup, maka apa pula yang perlu dikatakan kepada pemimpin yang mahu berkali-kali menjadi ketua kerajaan? Tidakkah itu jauh lebih korup? Ternyata tuduhan yang dilemparkan kepada Najib nampaknya sudah terpalit ke muka sendiri.

’Besi Buruk’ Untuk Orang Melayu

Soalnya sekarang, adakah benar kerosakan yang didakwa PH kini kesemuanya benar-benar disebabkan Najib? Perlu diingat bahawa usia pemerintahan Najib sebagai perdana menteri belum pun mencecah 10 tahun, sedangkan “kerosakan” yang didakwa Mahathir dan PH telah pun wujud berdekad-dekad lamanya. Soalan inilah yang perlu dijawan oleh pembangkang terlebih dahulu sebelum mereka boleh sewenang-wenangnya mencemuh Najib dengan tuduhan yang bukan-bukan.

Jika benar negara ini sudah rosak, maka rakyat perlu mengingatkan Mahathir bahawa Malaysia telah lama rosak sebelum era pentadbiran Najib lagi. Jika benar rakyat merasa susah, maka Mahathir juga perlu diberitahu bahawa rakyat telah lama sengsara sejak pemerintahan mesra-kroninya dahulu. Tuduhan mengenai Najib merompak wang rakyat bukan baharu kita dengar walaupun sehingga kini ianya tidak juga didatangkan dengan bukti-bukti yang kukuh. Keadaan sebaliknya pula dilihat dengan Mahathir yang sehingga kini gagal mempertahankan dirinya dalam skandal pertukaran mata wang asing (forex), isu Perwaja dan kerugian Proton yang cuba disenyapkan demi nafsu peribadi mencipta legasi politik peribadi.

Ketirisan yang berlaku dalam ketiga-tiga isu ini sahaja sudah jauh melebihi jumlah amaun yang didakwa “disamun” oleh pentadbiran Najib dalam isu 1MDB. Justeru, bagaimana orang Melayu mahu mempercayai semula Mahathir untuk mentadbir negara ini? Apabila PH “menawarkan” Mahathir kepada rakyat, orang Melayu khususnya jelas tidak melihat tawaran tersebut sebagai pilihan yang lebih baik. Atas sebab inilah ramai pemerhati berpendapat “tsunami” politik orang Melayu sukar berlaku pada PRU yang akan datang. Malah, tidak kurang juga yang membangkitkan kemungkinan mengenai ramainya orang Melayu dalam kalangan penyokong PH yang akan memboikot PRU kali ini lantaran kecewanya mereka dengan pilihan pakatan itu menjadikan Mahathir sebagai calon perdana menteri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here