Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada minggu depan dijangka membuat pengumuman untuk mengiktiraf ‘Jerusalem’ sebagai ibu negara Israel, ujar pegawai pentadbir kanan pada Jumaat.

Langkah itu disifatkan bakal mengubah polisi AS selain berkemungkinan meningkatkan ketegangan di Asia Barat, lapor Reuters.

Trump dijangka membuat pengiktirafan kontroversi itu pada Rabu, walaupun beliau cenderung untuk melengahkan lagi janji kempennya, iaitu mahu memindahkan pejabat kedutaan AS dari Tel Aviv ke Jerusalem.

Bagi umat Islam sedunia, ‘Jerusalem’ adalah nama yang tidak diiktiraf sebaliknya mahu terus mengekalkan kedaulatan dan kebebasan Baitulmaqdis.

Rakyat Palestin mahu Baitulmaqdis menjadi ibu kota negara mereka. Pada masa yang sama, komuniti antarabangsa juga tidak mengiktiraf tuntutan Israel ke atas semua bahagian kota itu – yang dihuni bersama oleh penganut Islam, Yahudi dan Kristian.

Khabar tentang pengumuman Trump itu nyata berbeza dengan pendirian presiden-presiden AS sebelum ini yang menegaskan status kota itu perlu diputuskan secara rundingan.

Selain mengundang kritikan daripada pihak berkuasa Palestin dan negara-negara Arab, perkembangan itu juga mendedahkan ketidaktentuan usaha diplomatik pentadbiran AS yang diketuai menantu yang juga penasihat kanan Trump yang kurang berpengalaman, Jared Kushner.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rdainah, berkata pengiktirafan ‘Jerusalem’ sebagai ibu negara Israel akan ‘memusnahkan proses kemananan’ dan ‘menjejaskan kestabilan serantau’.

Langkah itu dilihat hanya akan memuaskan hati golongan pro-Israel, iaitu kumpulan penyokong yang telah membantu Trump memenangi pilihan raya presiden.

Bagaimanapun setakat ini, belum ada pengesahan rasmi tentang rancangan pengumuman pengiktirafan tersebut daripada pegawai atasan White House.

Astro Awani

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here