Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan Arab Saudi, Raja Salman dilihat telah melaksanakan beberapa perubahan yang penting terhadap sistem pentadbiran dan rupa Arab Saudi sebagai sebuah negara baru. Raja Salman telah menyuntik kesegaran dan kejutan bersifat positif tentang Arab Saudi dan kini negara yang sebelum ini dianggap sebagai tertutup dan konservatif mula melihatkan peningkatan dari pelbagai sudut termasuk pemulihan reputasi dari sudut hak asasi manusia, keadilan, pembangunan ekonomi dan keutuhan integriti serta penghapusan rasuah.

Dari sudut ekonomi, Raja Salman melihat keupayaan Arab Saudi untuk berkembang menjadi sebuah negara yang makmur akan lebih baik jika berjaya mempelbagaikan sumber dan hasil ekonomi serta tidak hanya bergantung kepada sumber minyak dan gas semata-mata. Pada tahun 2016, beliau telah mengumumkan pelan ekonomi jangka panjang yang dinamakan sebagai ‘Wawasan 2030’. Pelan ini meliputi beberapa transformasi besar dalam ekonomi Arab Saudi termasuk penswastaan sebahagian daripada syarikat minyak milik Arab Saudi, Aramco dan melalui tindakan ini Aramco dijangka mampu menjana dana dan keuntungan mencecah RM8.5 trilion.

Dalam usaha menjadikan Arab Saudi sebagai destinasi pelaburan utama dunia, Raja Salman turut melaksanakan beberapa perubahan penting dari sudut hak asasi manusia termasuk mengembalikan semula hak-hak wanita yang sebelum ini dinafikan. Pada Disember 2015 misalnya buat pertama kali Arab Saudi membuka peluang kepada wanita untuk bertanding dan mengundi. Di samping itu, satu perubahan terpenting tentang wanita yang dilaksanakan beliau ialah memansuhkan larangan memandu untuk wanita pada bulan Jun lalu. Sikap keterbukaan Kerajaan Arab Saudi di bawah pemerintahan Raja Salman semakin ketara apabila turut membenarkan wanita untuk memasuki stadium bagi menonton acara sukan.

Dalam soal integriti dan memerangi rasuah, Raja Salman kelihatan begitu tegas dan mengambil tindakan tanpa mengira sesiapa sahaja. Semalam 11 putera dan kerabat diraja Arab Saudi dan puluhan bekas menteri telah ditangkap selepas Arab Saudi menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah sendiri. Antara yang ditangkap ialah Putera Al-Waleed bin Talal yang disenaraikan sebagai individu ke-45 terkaya dunia dengan jumlah kekayaan RM72 bilion. Penangkapan Putera Al-Waleed merupakan satu tindakan luar jangka dan jelas melihatkan bagaimana pentadbiran Raja Salman tidak berkompromi dengan hal berkaitan rasuah.

Selain Putera Al-Waleed, turut ditangkap ialah bekas menteri kewangan Ibrahim Al-Assaf. Sementara itu Ketua Pasukan Elit Pengawal Kebangsaan Arab Saudi dan Komander Tentera Laut Arab Saudi turut ditukar serta-merta dan tindakan berkenaan turut dikaitkan dengan salah laku berkaitan rasuah. Pentadbiran Raja Salman turut menghalang jet-jet peribadi daripada meninggalkan negara berkenaan dan tindakan ini diambil bagi mengelakkan individu berprofil tinggi melarikan diri daripada usaha pembasmian rasuah di Arab Saudi.

Segala kes-kes lama yang sebelum ini tersimpan rapi akan dibuka semula melalui Suruhanjaya yang ditubuhkan pentadbiran Raja Salman ini. Suruhanjaya ini turut diberikan kuasa yang luas untuk menyiasat, mengeluarkan waran tangkap, menyekat perjalanan dan membekukan aset suspek.

Inilah wajah baru Arab Saudi di bawah pentadbiran Raja Salman dan wajah ini sebenarnya amat membantu untuk memulihkan imej negara-negara Islam di peringkat global yang sering terpalit dengan tuduhan pengganas dan rekod buruk dalam hak asasi manusia. Wajah Arab Saudi di bawah pentadbiran Raja Salman kini cuba menjadi wajah sederhana, progresif dan penuh integriti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here