Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu satu jawatankuasa khas ditubuhkan segera bagi menyiasat insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa itu.

Timbalan perdana menteri berkata jawatankuasa itu penting selain bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita perlu segera tubuhkan jawatankuasa ini. Kita tidak perlu menunggu sehingga mesyuarat Kabinet pada Rabu depan untuk membincangkannya.”

“Adalah penting untuk pihak yang terlibat, mana-mana kementerian untuk duduk berbincang,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa yang terselamat dalam insiden itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam dalam sidang akhbar hari ini berkata kementeriannya tidak menolak kemungkinan untuk mewujudkan jawatankuasa khas dan akan membawa perkara tersebut dalam mesyuarat Kabinet akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, percaya, jawatankuasa itu mampu membuat keputusan dan tindakan yang penting berkaitan siasatan insiden tersebut.

Beliau turut menawarkan diri untuk mengetuai jawatankuasa khas itu sambil menghulurkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

Jelasnya, adalah penting untuk semua pihak menjadikan iktibar dan pengalaman dalam insiden itu agar ia tidak menimpa mana-mana pusat tahfiz yang lain di masa depan.

Seramai 21 pelajar dan dua guru terkorban dalam kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung,semalam.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here