“Saya tak puas hati keadaan dewan ini yang berharga RM600,000 tapi dibina seperti harga RM300,000 dan saya nak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) siasat.

Itu ucapan Timbalan Perdana Menteri  juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang melahirkan rasa tidak puas hatinya atas hasil kerja pembinaan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang.

Menurut Ahmad Zahid, pihaknya tidak akan berkompromi jika ada unsur rasuah dalam pembinaan dewan berkenaan yang sepatutnya dibina sesuai dengan peruntukan yang diberikan.

“Jika ada peruntukan berlebihan serta penyelewengan saya akan ambil tindakan dan jangan pernah menghina orang Bagan Datuk serta SMK Hutan Melintang dengan pembinaan seperti ini.

“Saya tidak mahu rakyat katakan ini mesti kerja Ahli Parlimen Bagan Datuk atau Adun Rungkup dan sebagainya mengambil duit,” katanya.

Ahmad Zahid turut memberikan tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa pembinaan serta kontraktor yang membina Dewan Terbuka SMK Hutan Melintang menyelesaikan masalah tersebut.

“Jadi saya mahu dalam tempoh tiga bulan yang terlopong ini mesti ditutup, lantai mesti dimarmarkan supaya lebih cantik, kipas bilah besar dipasang bukan kipas kecil.

“Jangan main-main dengan saya walau saya duduk di atas saya tetap berpijak di bumi Bagan Datuk kerana saya adalah rakyat Bagan Datuk,” katanya.

Tambahnya lagi dia akan melawat selepas tiga bulan dari sekarang bagi melihat dewan berkenaan dibina mengikut nilai peruntukkan yang ditetapkan.

“Siapa kontraktor saya bagi amaran kalau harga RM600,000 nilainya mesti sama bila dibina bukan dengan binaan seperti bernilai RM300,000, saya tidak boleh terima.

“Saya akan buat lawatan mengejut untuk melihat dewan ini lebih baik dari sekarang,” katanya.

Sumber

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here