TPM

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam memberi penjelasan berhubung kelonggaran syarat lulus bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi jawatan Pegawai Perubatan Kontrak.

Kedua-dua menteri berkenaan akan diminta berbuat demikian pada mesyuarat Jemaah Menteri, Rabu ini.

“Saya akan meminta Datuk (Seri Dr) Subramaniam untuk membuat penjelasan mengenai kontroversi itu dan juga akan meminta menteri yang bertanggungjawab mengenai Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Joseph Entulu untuk memberi maklumat mengikut perspektif JPA,” katanya yang dipetik oleh Bernama.

Ahmad Zahid berkata demikian pada sidang media ketika melakukan kunjungan Hari Gawai Dayak di kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah di Taman BDC, Stampin di Kuching hari ini.

“Bagi saya, perkara ini seharusnya ditangani dengan fikiran terbuka dan kita harus mendengar penjelasan daripada kedua-dua menteri yang berkenaan.

“(Ia) supaya perkara ini tidak lagi dikontroversikan dan menjadi polemik terutama menjelang hari besar (pilihan raya) sehingga ia dimanipulasikan oleh pihak yang anti-establishment,” kata Ahmad Zahid.

“Dalam perkara ini, saya memandang keputusan yang dibuat oleh JPA dan juga Jabatan Kesihatan bukan terhadap penjawat awam tetap tetapi terhadap penjawat awam secara kontrak dan itu sebabnya saya mahu penjelasan dapat dilakukan oleh kedua-dua menteri berkenaan,” katanya.

Pada Ahad, 2 Julai lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu pada 23 Feb lalu untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here