najib

Tony Pua, ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, dilarang untuk terus menerbitkan kenyataan dan klip video yang memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Ini berikutan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang membenarkan permohonan embargo Najib terhadap Setiausaha Publisiti Dap itu.

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab membuat keputusan itu selepas bertemu peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili Najib dan peguam Tan Cheng Leong mewakili Tony Pua di kamarnya.

Mohd Hafarizam berkata, mahkamah membenarkan permohonan Najib mendapatkan injunksi sementara dua belah pihak sehingga kes selesai dibicarakan dan diputuskan.

“Permohonan kami dibenarkan kerana terdapat isu serius yang perlu dipelihara tanpa menjejaskan kedudukan plaintif Najib,” jelasnya.

Mahkamah menetapkan 13 September untuk pengurusan kes bagi membolehkan pihak-pihak mengenal pasti fakta yang dipersetujui dan tidak dipersetujui.

Dalam saman itu, Najib atas kapasiti peribadi selaku plaintif berkata pada 6 April lalu, Tony Pua membuat satu kenyataan di ruang legar bangunan Parlimen yang dirakam dan dimuat naik olehnya dalam laman Facebook atas nama Tony Pua bertajuk BN Govt abandons all Bills to give precedence to PAS RUU 355 Private Member’s Bill.

Dakwa Najib, antara lain, kenyataan itu adalah fitnah terhadap jawatannya selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang bermaksud beliau menyalahgunakan kuasa dengan memberikan arahan melalui Kabinet kepada Speaker Dewan Rakyat supaya mengusulkan Rang Undang-undang Persendirian dan mengetepikan rang undang-undang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here