KARYA adaptasi novel ke layar perak bukan kisah baru yang dipertonton penerbit filem kepada penonton. Bahkan ia kini menjadi fenomena.

Dan kini, giliran novel Tombiruo karya novelis terkenal, Ramlee Awang Murshid diterjema ke layar perak dan menemui penonton sejak 12 Oktober lalu.

Tombiruo: Penunggu Rimba menyaksikan gabungan empat syarikat iaitu Astro Shaw, Ideate Media, Grup Buku Karangkraf dan Layar Sunan berkolaborasi buat kali pertama selaku penerbit.

Filem ini menyaksikan pelakon hebat seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Faizal Hussein, Farah Ahmad, Atu Zero, Hasnul Rahmat, Michael Chen, Datuk M Nasir, Datin Marlia Musa, Faye Kusyairi dan ramai lagi.

Namun sebelum penulis meneruskan ulasan mengenai filem arahan Seth Larney bersama pengarah bersekutu Nasir Jani, penulis ingin ingatkan ulasan ini dibuat secara telus.

Sejujurnya, penulis tergolong dalam mereka yang menonton tanpa membaca novel terlebih dahulu dan penulis berbuat demikian bagi mengelakkan meletak harapan tinggi apa yang dibaca terjemahkan di dalam filem ini.

Dan setelah sama-sama menonton, penulis berpuas hati dengan filem ini dan Tombiruo boleh disifatkan karya segar dengan garapan kemas.

Tidak adil membandingkan filem ini dengan karya dari luar negara, namun untuk sebuah filem tempatan, naskhah ini boleh dibanggakan.

Pertukaran babak ke babak dibuat kemas dan cepat dengan beberapa sentuhan CGI (imej janaan komputer) yang nampak real lebih-lebih lagi babak rumah Tombiruo @ Ejim dalam hutan.

Barisan pelakon juga memainkan peranan memantapkan lagi penceritaan dengan lakonan dan permainan emosi cukup berkesan.

Lebih-lebih lagi Zul yang sepanjang perjalanan filem itu tampil bertopeng, namun hanya dengan menderam dan menghembus nafas, ia sudah cukup memberitahu moodnya pada ketika itu.

Cuma ada beberapa jalan cerita dilihat sedikit longgar dan kurang jelas, namun penyelesaian masalah itu adalah dengan cara anda membaca novel Tombiruo untuk ketahui persoalan yang mungkin berlegar di dalam kepala anda.

Secara ringkas, filem ini menceritakan tentang Ejim, lelaki bertopeng yang digelar sebagai Tombiruo oleh penduduk di Sabah kerana menganggapnya sebagai penunggu rimba.

Kehadiran Tombiruo penuh misteri dan sering ditakuti serta dicaci penduduk. Apabila Wong dan kuncu-kuncunya buat kacau di kampung untuk meneruskan aktiviti empangan, satu insiden telah berlaku dan menimbulkan kemarahan Tombiruo.

Sementara Amiruddin anggap Tombiruo punca keperitan hidup keluarganya. Wartawan Wan Suraya ikuti perkembangan isu syarikat Tan Sri Berham turut mengikuti jejak Tombiruo. Wan Suraya dapat rasakan Tombiruo tidak membahayakan seperti diperkatakan.

Namun, apabila Amiruddin dan Tombiruo bertemu, mereka bertarung demi bela nasib orang-orang yang mereka sayangi.

Bagaimanapun satu demi satu rahsia mula terbongkar selepas pertemuan mereka itu. Apakah rahsia itu? Saksikan filem ini di pawagam.

Sesi pratonton meriah

Sementara itu, pada 11 Oktober lalu, Media Hiburan dengan kerjasama dari Astro Shaw telah menganjurkan sesi tayangan istimewa Tombiruo bersama 110 pembaca bertuah.

Menerusi acara yang berlangsung pada jam 8.30 malam di MM2 Cineplex, E Curve, Mutiara Damansara itu, turut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon Tombiruo seperti Nabila, Hasnul, Dynas, Marlia, Farah dan Michael.

Turut hadir, aktres terkenal, Fauziah Nawi dan beberapa selebriti lain seperti Sherry Al Hadad, Aisyah AF dan Ain AF.

Sebelum tayangan bermula, pelakon sempat beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Rata-rata memberi respons positif terhadap filem ini.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here