Barisan Nasional (BN) tidak perlu bimbang dengan tindakan pakatan pembangkang mencalonkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri, jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14). Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat, berkata tindakan itu hanya strategi pembangkang dan menjadi hak mereka untuk mencalonkan siapa sahaja yang mereka suka.

Katanya, perkara lebih penting perlu dilakukan oleh BN adalah terus berkhidmat untuk rakyat seperti yang dilakukan selama ini, kerana rakyat dapat membuat penilaian sendiri berdasarkan kemajuan dan kesejahteraan hidup yang dinikmati.

“Pembangkang mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri (jika menang PRU-14), jadi saya ucapkan selamat kembali kepada beliau.

“Terpulang kepada mereka untuk meletakkan tokoh tertentu sebagai pemimpin (calon perdana menteri). Bagi BN, kita perlu bekerja kuat untuk pastikan rakyat dapat membuat penilaian yang baik terhadap perkhidmatan yang kita berikan selama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Perhimpunan Bulanan Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, di sini. Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Mat Ali Hassan.

Pakatan pembangkang mengumumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sebagai calon timbalan perdana menteri, jika pembangkang memenangi PRU-14.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here