Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM2 juta bagi membantu menyediakan barangan kelengkapan sekolah kepada 10000 pelajar kurang berkemampuan di seluruh negara.

Pengurus Besar Kanan Hal Ehwal Korporat TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata bantuan berkenaan merupakan tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan TNB bagi memastikan kesemua pelajar yang kurang berkemampuan dapat belajar dalam keadaan selesa.

“Pada tahun ini, kita tingkat lagi dari segi peruntukan dan jumlah penerima dengan RM2 juta diperuntukkan telah diluluskan oleh lembaga pengarah TNB yang meliputi 50 kawasan parlimen dan melibatkan 10,000 orang pelajar.

“Program bantuan ini melibatkan pelajar bukan sahaja di Semenanjung  malah Sabah dan Sarawak termasuk Orang Asli,” katanya pada Program Jom Kembali Ke Sekolah Sesi 2018 anjuran TNB dan Parlimen Tampin, di sini.

Katanya sejak bantuan berkenaan dimulakan pada 2013, seramai 12,000 elajar dari 800 sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat.

Pada majlis itu, seramai 200 orang pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun di Parlimen Tampin menerima sumbangan barangan kelengkapan sekolah yang disampaikan oleh anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh Datuk Mohd Isam Mohd Isa.

Mohd Aminuddin dalam pada itu berharap bantuan yang diberikan itu dapat menyuntik semangat para pelajar untuk terus berusaha dan cemerlang dalam akademik.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here