TN50

Transformasi Nasional 2050 (TN50) diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak sebagai satu usaha untuk membentuk masa depan Malaysia bagi tempoh tahun 2020 hingga 2050. Secara umumnya Malaysia mensasarkan untuk muncul sebagai antara negara teratas di tangga dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan inovasi. Sasaran ini bukan sekadar mahu melihat Malaysia muncul sebagai negara maju semata-mata, tetapi dari pelbagai sudut sebagai negara yang berjaya dan dihormati.

Lebih menarik pendekatan yang digunakan oleh YAB Perdana Menteri ialah memastikan setiap sasaran ini menepati aspirasi dan kemahuan rakyat sendiri. Dalam erti kata lain, TN50 bukan hanya dibentuk di peringkat atas, tetapi ditentukan oleh masyarakat umum dan Kerajaan menjadi pelaksana kepada setiap impian dan cita-cita ini. Rakyat Malaysia sedang diberikan peluang untuk mengisi makna Transformasi yang diinginkan dan ini harus dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

Proses mendapatkan input dari rakyat ini bukan satu hal yang mudah dan Kerajaan dilihat benar-benar mahu memastikan TN50 ialah satu visi yang inklusif dan bukan menjadi milik Kerajaan semata-mata, tetapi semua peringkat dan golongan dalam masyarakat Malaysia. Prinsip dari rakyat untuk rakyat merupakan idea YAB Perdana Menteri yang amat baik bagi memastikan setiap dasar yang bakal dibentuk berasaskan kepada TN50 ini memberikan pulangan bermakna kepada rakyat secara keseluruhannya.

Sejak dilancarkan Kerajaan telah menggerakkan pelbagai siri dialog TN50 melibatkan pelbagai peringkat masyarakat dan dikendalikan oleh pemimpin tertinggi Kerajaan termasuk YAB Perdana Menteri, Jemaah Menteri, Ketua Pentadbiran dan sebagainya. Sesi dialog ini menumpukan kepada semua bidang termasuk pembangunan ekonomi, sosial, politik, seni, sastera, belia, wanita, golongan kelainan upaya dan sebagainya. Sesi pengumpulan input ini amat berguna untuk dijadikan petunjuk penting dalam Kerajaan merangka dasar dan hala tuju utama TN50.

Melihat masa depan dari kaca mata sekarang adalah sukar tanpa penglibatan golongan muda dan kelompok ini amat disarankan untuk melibatkan diri secara aktif dalam setiap sesi dialog yang dikendalikan bagi memastikan input yang diperlukan oleh Kerajaan datang dari golongan yang bakal menikmati hidup pada tahun 2050. Jika anda seorang perwira papan kekunci, jangan hanya pandai berselindung di sebalik nama-nama palsu, tetapi sebaliknya tonjolkan diri anda, bercakap dan memberi pandangan secara bernas. Ini ialah cara lebih matang, berbanding membaling batu, tetapi menyembunyikan tangan.

Maklum balas dan input di pelbagai peringkat masyarakat amat diperlukan Kerajaan demi kelangsungan negara bernama Malaysia ini dan setiap cadangan yang dikemukakan bukan bersifat kritikan atau kutukan kosong semata-mata, tetapi harus datang dengan cadangan konkrit untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan. Sesi dialog ini bukan satu sesi luahan perasaan, tetapi satu sesi permulaan untuk mencipta masa depan negara yang lebih gemilang.

Datang dengan hati terbuka dan minda yang berkuasa untuk memastikan idea-idea bernas dapat diterima sebagai wadah pembuka kepada usaha pembentukan negara Malaysia yang maju dan sejahtera secara menyeluruh menjelang tahun 2050. Masa depan negara bukan terletak kepada generasi sekarang, tetapi generasi yang kini berada di bangku sekolah, yang sedang di dalam buaian dan yang berada di menara gading. Tampuk kepimpinan bakal diserahkan kepada golongan muda sebegini dan sikap ambil tahu dan mahu membantu Kerajaan amat diperlukan untuk pembentukan masa depan ini dapat direalisasikan secara bersama-sama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here