Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menghalakan kritikan kepada Pemuda Umno Kedah menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah, Sabtu ini.

Beliau turut mensasarkan kelemahan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Datuk Aminuddin Omar sebagai punca ketegangan kedua-dua pasukan.

Justeru Tunku Ismail yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menasihati penyokong kedua-dua pasukan supaya tidak terus bertelingkah.

“Inilah terjadi apabila ada Menteri Besar yang kurang tegas dan terdapat orang bawahan yang buat kerja bukan-bukan termasuklah sengaja ingin menegangkan hubungan kedua pihak demi politik masing-masing,” katanya menerusi Facebook.

Semalam, bekas menteri besar Kedah dan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa tiket perlawanan akhir itu dibedal oleh Pemuda Umno Kedah.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Saiful Hazizi Zainal Abidin bagaimanapun hari ini menafikan tuduhan berkenaan sebaliknya mengatakan ia ditimbulkan pihak berkepentingan sebagai modal politik mereka.

“Kita bagi kepada peminat bola sepak, peminat bola sepak ini ada Umno, ada PAS, ada orang DAP, ada orang BERSATU dan ini (dakwaan tiket diagih kepada penyokong Umno) sangat subjektif,” katanya.

Tunku Ismail berkata beliau telah meminta Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) untuk melihat kemungkinan mencetak tiket tambahan bagi penyokong Kedah yang gagal mendapat tiket.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here