Pasukan-pasukan bola sepak tempatan bakal menerima ‘bayaran’ daripada agihan hak penyiaran di iflix, yang dijangka bernilai RM30 juta setahun, bermula tahun ini, titah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Baginda yang juga Pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) bertitah ia bakal dinikmati semua pasukan bola sepak Malaysia yang bertanding dalam Liga Malaysia selama 10 tahun.

Tunku Ismail bertitah hak penyiaran berkenaan adalah hasil jalinan kerjasama yang dimeterai antara FMLLP dengan syarikat ekonomi digital antarabangsa, iflix.

“Apa sahaja duit hak penyiaran akan diagihkan kepada semua pasukan yang bertanding dalam negara ini, sekali gus boleh membantu kita menstruktur semula industri bola sepak negara.

“Hak penyiaran adalah penting kerana kalau kita lihat, industri bola sepak negara kita mempunyai masalah  kewangan dan profesionalisme. Kerjasama bersama iflix hanyalah satu permulaan… kita akan ada banyak lagi jalinan kerjasama dalam membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” titah baginda kepada pemberita selepas majlis menandatangani kerjasama FMLLP bersama iflix, di sini hari ini.

Tunku Ismail bertitah, kerjasama itu turut membuka ruang bagi FAM dan FMLLP untuk membanteras rasuah sekali gus membentuk sikap integriti di kalangan penggiat industri bolasepak tempatan.

Selain itu, pemain juga akan lebih berusaha keras dalam menarik lebih ramai pelabur ke dalam pasukan agar pasukan mereka mempunyai kestabilan kewangan dan tidak bergantung kepada duit kerajaan.

“Dengan bimbingan FAM dan FMLLP, kita akan memastikan mereka menggunakan wang yang mereka dapat untuk menambahbaik pasukan mereka sendiri terutamanya dalam soal berkaitan infrastruktur,” titah Tunku Ismail.

Sementara itu, kerjasama yang dijalin bersama iflix  akan memberi peluang kepada para peminat bola sepak negara menonton penstriman secara langsung setiap perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA terpilih secara eksklusif di saluran ‘Football Malaysia on iflix’.

Bermula 3 Februari 2018, peminat bola sepak seluruh negara akan mendapat akses kepada keseluruhan musim pertandingan termasuk 22 perlawanan dengan enam perlawanan setiap minggu untuk Liga Super, 74 perlawanan Piala FA dan Piala Malaysia serta perlawanan Liga Premier yang terpilih selain Piala Sumbangsih.

Selain itu, mereka boleh mengakses ciri baharu termasuk sorotan perlawanan dan temu bual pemain.

Setiap pengguna juga boleh menonton empat perlawanan Liga Super setiap minggu secara penstriman secara langsung yang kesemuanya 46 perlawanan dan Liga Premier terpilih secara percuma, tanpa mengira status langganan.

— Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here