Saya dimaklumkan bahawa ada satu kenyataan akhbar oleh Datuk Mohamad Zekri yang berpendapat bahawa sesetengah individu layak untuk mewakili negara dalam Sukan Sea akan datang. Bukankah saya pernah mengalahkan pasukan yang Datuk wakili dulu sebanyak 10- 0 dan 11-0 semasa satu pertandingan polo di Pekan, Pahang. Macam mana anda boleh mewakili negara? Saya ingat hanya seorang sahaja yang melobi mewakili negara, rupa-rupanya ramai lagi yang melobi untuk mewakili negara ke sukan sea.

Negara kita pada masa ini perlu diurus mengharungi pelbagai cabaran global, tetapi masih lagi terdapat individu-individu yang masih melobi hinggakan hal-hal sukan dicampuradukkan dengan politik demi kepentingan diri.

Merujuk kenyataan saya tempoh hari, kenyataan saya adalah untuk keseluruhan sistem Malaysia dan masalah semasa tetapi telah dipergunakan dengan agenda-agenda politik sesetengah pihak. Saya tidak pernah mempertikai kelayakan dan keperluan pemimpin negara untuk menggunakan jet kerajaan tetapi saya menimbulkan isu penggunaan jet peribadi yang perlu dibiayai kerajaan dengan mempergunakan duit rakyat oleh pembesar negara. Jelas ia tiada kaitan dengan jet kerajaan.

Benda yang lebih besar adalah Rasuah. Rasuah harus dibanteras dan diperangi habis-habisan. Di Johor, tiada tempat untuk pelaku rasuah dan ianya akan diadili seadilnya tanpa mengira pangkat dan latar belakang seperti kes-kes yang berlaku baru-baru ini. Pihak berwajib haruslah menjunjung titah DYMM Sultan Johor untuk memerangi rasuah.

Berkenaan polo. Saya berpendapat, kita hentikan segala spekulasi berkaitan isu ini dengan mengadakan satu perlawanan polo antara skuad polo Sukan SEA dan satu pasukan dari Royal Johor Polo Club yang terdiri daripada saya sendiri dan adik saya serta dua orang pemain kami. Saya juga mencadangkan agar perlawanan tersebut disiarkan secara langsung di televisyen untuk disaksikan kepada seluruh negara bagi menilai sendiri individu yang mana sepatutnya layak untuk mewakili negara. Bagi saya individu yang layak mewakili negara adalah seperti Saladin, Hussaini Yunos, Tengku Hassanal Shah, Tengku Amir Nasser Ibrahim, Tengku Muhammad Shah, Amran Selamat dan beberapa individu-individu lain.

Sebelum saya terlupa, saya juga mencadangkan kita menjemput para peminat untuk datang menyaksikan perlawanan tersebut dengan mengenakan tiket sebanyak RM10 dan jumlah kutipan tiket tersebut akan diberikan kepada pasukan bolasepak seperti Juara Piala FA Kedah, Pahang, Melaka, Kelantan dan lain-lain pasukan ataupun disalurkan kepada mana-mana badan amal.

Apa yang telah saya sampaikan kenyataan baru-baru ini adalah untuk seluruh permasalahan dalam negara iaitu sistem pendidikan, rasuah, hipokrit, cemburu dan lain-lain lagi. Ingatlah, Malaysia berpotensi menjadi negara yang dikenali sebagai negara maju dalam pelbagai bidang sekiranya kita menjalankan tugas dengan baik. Tugas kita adalah berkhidmat untuk rakyat seikhlas dan setulus-tulusnya. Saya yakin Malaysia akan berjaya jika kita semua berkhidmat untuknya.

Kalau ada individu-individu yang masih lagi tidak faham apa yang saya maksudkan, maka benarlah apa yang telah saya katakan tentang sistem pendidikan di negara ini

DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here