Persatuan Patriot Kebangsaan menyeru kerajaan meningkatkan dana untuk angkatan tentera bagi memastikan perairan Sabah dan Sarawak di Laut China Selatan dilindungi.

Dalam kenyataan hari ini, Presiden Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji berkata peruntukan tambahan akan membolehkan angkatan tentera terutamanya tentera laut mengawasi wilayah negara daripada ancaman kuasa besar seperti China.

“Kita harus tegakkan kedaulatan ke atas kawasan tuntutan dengan kehadiran tentera kita, kerana ini berpotensi menjamin talian hayat ekonomi kita pada masa depan.

“Sebab itulah peranan angkatan tentera kita dalam konflik Laut China Selatan sangat penting,” katanya merujuk kepada pertikaian bagaimana China menuntut pulau-pulau sejauh perairan antara Semenanjung Malaysia dan Borneo.

Sejak beberapa tahun ini, konflik itu termasuk pertikaian sempadan melarat terutamanya antara Vietnam dan China.

Arshad berkata, China dan Vietnam meletakkan tentera mereka dan membina struktur di beberapa pulau yang dituntut mereka.

“Negara kita mengekalkan pendekatan tidak menonjol kerana menggemari diplomasi lembut atau “cara mesra” untuk menangani masalah, tetapi sudah tiba masa Malaysia lebih tegas dalam konflik Laut China Selatan.

“Patriot mahu kerajaan memainkan peranan diplomatik yang lebih tegas, kerana kepentingan wilayah, maritim, dan ekonomi menjadi kepentingan utama,” katanya.

Arshad juga bimbang konflik wilayah dan maritim Laut China Selatan akan melarat menjadi satu konfrontasi dan perang.

Beliau memetik laporan Reuters semalam, yang melaporkan bagaimana China memperbesar pulau-pulaunya yang didudukinya di kawasan Laut China Selatan yang menjadi pertikaian dengan projek binaan tahun ini, termasuklah kemudahan radar.

“Mana-mana kuasa besar, Amerika Syarikat atau China, membina pangkalan di rantau Asia Tenggara sama sekali bukan perkara baik.

“Ianya cerita berbeza jika negara yang membuat tuntutan ke atas pulau-pulau kosong dan atol-atol menghantar tentera dengan senjata ringan untuk mendiami atau membina struktur.

“Membangunkan kawasan itu menjadi pangkalan tentera yang besar dengan kebolehan serangan sama sekali bukan idea yang baik,” katanya.

“Mustahak untuk Malaysia lebih tegas kerana sikap tidak menonjol diri akan ditafsirkan sebagai bersetuju dalam diam dengan pendirian agresif China .”

Arshad kemudian menyeru resam antarabangsa bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu Mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) dipatuhi oleh semua negara yang membuat tuntutan di Laut China Selatan.

UNCLOS membenarkan zon ekonomi eksklusif (EEZ) sejauh 200 batu dari pinggir laut sesebuah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here