pru14

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan tindakan berunding dengan Pas sebagai tepat bagi menghadapi PRU14.

Ia susulan kenyataan  bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju hubungan PKR dengan Pas diteruskan.

“Terbukti saya betul. Kebenaran akan mengatasi penipuan. Mencari penyelesaian memerlukan kesungguhan ikhtiar. Bukan sekadar untuk meraih perhatian,” tulis Azmin di Facebooknya.

Anwar menerusi satu kenyataan kelmarin memaklumkan, PKR tidak semestinya memutuskan hubungan dengan Pas selagi ada kesediaan di pihak berkenaan untuk meneruskan perbincangan.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli pula dilaporkan mencadangkan agar  kongres khas perlu dibentuk segera untuk menyelesaikan isu kerjasama Pas dan Kerajaan Selangor.

Rafizi berkata, perbezaan mengenai perkara itu (sama ada untuk bekerjasama dengan Pas bagi mengekalkan penguasaan terhadap Selangor) memecahbelahkan parti itu dan menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong akar umbi yang akan memberi kesan kepada persediaan pilihan raya nanti.

Desakan Rafizi tersebut adalah susulan daripada tindakan Azmin yang memulakan rundingan tidak rasmi dengan pimpinan Pas selepas mengadakan pertemuan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bagi melawat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dibungi berkata, PKR menerima nasihat Anwar dengan terbuka dan kepimpinan parti kini sedang menumpukan perhatian bagi menghadapi PRU14.

“Nasihat Anwar adalah jelas malah tidak ada lagi pergolakan serta tuduh-menuduh dan biarlah kita tumpukan untuk menghadapi PRU14 ini,” katanya.

Tian Chua berkata, kenyataan Anwar juga jelas menyatakan sekiranya Pakatan Harapan mempunyai ruang untuk menggelakkan pertembungan tiga penjuru, maka kesempatan itu perlu digunakan sebaiknya.

Namun begitu, beliau memaklumkan bahawa keutamaan PKR buat masa ini adalah untuk membina dan memperkukuhkan Pakatan Harapan yang merupakan tunggak bagi melawan Umno-BN.

“Itu komitmen PKR iaitu untuk kukuhkan Pakatan Harapan dan menyediakan jentera PRU14 ini.

“Sama ada Pas ingin bekerjasama atau tidak melibatkan pembahagian kerusi, itu terpulang kepada mereka namun jika mereka mempunyai niat untuk bersama, kita sentiasa terbuka dan konsisten,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here