Pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti pengundi Melayu pada PRU14 memberi cabaran sengit kepada Umno dan Pas, tetapi tidak kepada Pakatan Harapan (Harapan).

Penceramah Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, ini kerana majoriti penyokong Melayu dijangka memberi undi besar kepada kedua-dua parti didominasi Melayu itu berbanding Harapan yang diwakili PKR, Bersatu, DAP dan Amanah.

Beliau juga tidak menolak Harapan mungkin kehilangan deposit sekiranya pertandingan tiga penjuru berlaku di kawasan majoriti kaum terlibat.

“Kalau berlaku pertandingan tiga penjuru di kawasan Melayu, Pakatan Harapan mungkin ‘hi-hi, bye-bye’ tetapi keputusan mungkin berbeza di kawasan campuran atau yang mempunyai pengundi Cina yang ramai,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, ramalan politik di negeri ini juga boleh dibaca sekiranya berlaku pertandingan penjuru memandangkan Terengganu merupakan kawasan didominasi Melayu.

Abu Bakar berkata, sejak dahulu, rakyat negeri ini sudah ‘sebati’ memilih sama ada Umno atau Pas yang merupakan dua musuh tradisi berbanding parti-parti baharu yang datang kemudian seperti PKR.

Jelasnya, jika Pas bergerak sendiri sehingga PRU14 tanpa menyertai mana-mana blok politik khususnya Pakatan Harapan, pakatan pembangkang itu menghadapi kesukaran untuk menang di kawasan Melayu memandangkan hanya Pas mempunyai sokongan akar umbi khususnya Melayu ramai berbanding parti-parti pembangkang lain.

Beliau yang juga bekas Ketua Penerangan PKR Terengganu menjelaskan, keadaan pada PRU14 nanti juga berbeza berbanding PRU lalu memandangkan Pas pada waktu itu menyertai PR.

Menurutnya, Pas bersama PKR bekerjasama dalam pakatan tersebut bersama-sama DAP di negeri ini yang turut memperlihatkan PKR menang di kerusi tunggal di Dun Bandar.

Jelasnya, Walaupun kedua-dua dilanda krisis pengagihan kerusi, namun perkara tersebut dapat diselesaikan di saat-saat akhir.

“Kalau kawasan campuran, PKR dan DAP boleh menang seperti di Kapar, Klang. Mereka boleh kekalkan kerusi. Kalau di kawasan Melayu, harapan tipis,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here