MASIH tiada perkembangan mengenai rundingan kerusi antara Parti Warisan Sabah dan Pakatan Harapan (PH) negeri walaupun jemputan rasmi untuk rundingan kerusi sudah dihantar pada minggu lepas.

PH Sabah telahpun diberi tempoh sehingga hari ini untuk menyelesaikan rundingan kerusi di Sabah.

Pengerusi PH Sabah, Christina Liew memaklumkan kepada The Malaysian Insight, tiada maklumat terkini setakat ini dan beliau tidak akan membuat sebarang kesimpulan atas tindakan Warisan yang masih membisu.

“Saya percaya tiada parti yang memulakan pertemuan dengan Warisan atau parti pembangkang lain mengenai perkara itu,” kata Liew sambil menambah akan memaklumkan sekiranya terdapat perkembangan terkini.

Menurut Liew, pada 25 Januari, satu jemputan rasmi telah dipanjangkan kepada Warisan untuk memulakan rundingan kerusi dan rundingan akan dilakukan secara berasingan antara parti komponen PH iaitu PKR, DAP dan Amanah, dengan Warisan.

Pengarah pilihan raya pusat PH, Muhyiddin Yassin ketika dalam lawatan ke Sabah berkata rundingan itu mesti diselesaikan pada 31 Januari lalu dan beliau memberi kepercayaan penuh kepada PH dalam menyelesaikan rundingan bersama Warisan dengan baik.

Warisan masih belum menghubungi PH Sabah, kecuali Timbalan Presidennya, Darell Leiking memberitahu PH negeri yang rundingan itu harus “di belakang tabir”.

Terdapat 60 kerusi negeri dan 25 kerusi Parlimen di Sabah, dan pengagihan kerusi di kalangan parti kompone PH selesai pada 9 Disember lalu.

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong mengesahkan tiada pertemuan diadakan selepas lawatan Muhyiddin.

Kata beliau, “perbualan” terkini dengan Warisan ialah melalui media, apabila PH negeri menawarkan 60% dari kerusi negeri kepada parti itu sebagai balasan kepada 60% kerus parlimen.

Ketika dihubungi, Leiking berkata perkara berkaitan rundingan kerusi terletak di bawah kuasa presiden.

Warisan dengan jelas telah menyatakan tidak akan menjalin kerjasama dengan PH Sabah, namun menyokong sebarang usaha pembangkang menjatuhkan Barisan Nasional.

Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal dalam ucapannya telah memuji Pengerusi dan calon perdana menteri PH, Dr Mahathir Mohamad walaupun rakyat Sabah masih menyalahkan bekas perdana menteri itu atas masalah pendatang asing tanpa izin dan isu-isu lain di Sabah.

Shafie berkata beliau percaya Dr Mahathir merupakan “satu-satunya pemimpin yang boleh membawa Malaysia keluar dari krisis hutang.”

Sementara itu, Dr Mahathir semalam berkata, Majlis Presiden PH telah meneliti perkembangan rundingan di Sabah dan berpuas hati dengan usaha yang dijalankan di sana.

“Kami ada DAP dan PKR di Sabah yang sudahpun ada kerjasama di sana. Kami juga maklum mengenai Warisan dan tidak mahu bertembung dengan mereka. Jadi, mungkin akan ada hubungan kerjasama antara PH dan Warisan,” kata Dr Mahathir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here