TANGGAL 25 September 2017 menandakan genap sebulan bermulanya krisis etnik Islam Rohingya di Rakhine, Myan­­mar yang memaksa 430,000 etnik itu melarikan diri ke Bangladesh.

Malah beratus-ratus lagi masih mempertaruhkan nyawa me­nye­­be­rang sempadan negara ini sejak krisis yang bermula 25 Ogos 2017 ekoran pertempuran antara pejuang Islam Rohingya dan tentera kerajaan.

Sejak tarikh itu Bangladesh terpaksa menggalas tanggungjawab menjaga kebajikan pelarian Ro­hingya selain cuba memujuk Myanmar menerima kembali pelarian berkenaan termasuk sekurang-kurangnya 240,000 kanak-kanak.

Jumlah tersebut merupakan tambahan daripada 300,000 pela­rian Rohingya yang telah berada di kem pelarian sekitar Cox’s Bazar.

Profesor Zachary Abuza dari National War College, Washington berkata, tiada negara yang menunjukkan keinginan untuk terlibat dalam krisis itu kecuali demonstrasi bantahan yang diadakan oleh negara-negara ASEAN seperti Malaysia dan Indonesia.

China serta India yang mempunyai pengaruh besar terhadap Myanmar enggan campur ta­ngan malah menyokong kerajaan Myan­mar demi kepentingan eko­nomi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran tentang peningkatan risiko penyakit taun di kem pela­rian Rohingya di negara ini de­ngan laluan di sepanjang kem dipenuhi najis manusia.

Sebulan selepas kedatangan beramai-ramai etnik Rohingya, mereka yang ditempatkan di 68 kem dan pusat perlindungan di sepanjang sempadan tidak mempunyai air minuman bersih dan kemudahan kebersihan.

Dalam pada itu, pasukan tentera Myanmar menemukan 28 mayat penduduk Hindu, 20 daripadanya wanita manakala lapan lagi kanak-kanak lelaki di Kampung Ye Baw Kya di utara wilayah Rakhine, disyaki dibunuh oleh pejuang Islam, namun Tentera Pembebasan Rohingya Arakan (ARSA) menafikan tuduhan itu.

Filipina dalam satu kenyataan memberitahu, menteri-menteri luar ASEAN mengutuk serangan ke atas pasukan ke­selamatan Myanmar dan mereka menyatakan sokongan ke atas kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Walau bagaimanapun, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menegaskan, Malaysia tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut dan ia tidak dibuat secara konsensus

Apakah tanggungjawab sebenarnya perlu dilakukan oleh ASEAN?

ASEAN perlu meng­hukum Myanmar di atas kesilapannya terhadap etnik Rohingya termasuk menyingkirkan negara tersebut sebagai ahli ASEAN.

Myanmar merupakan anggota ASEAN, apa yang dilakukannya sangat memalukan. Sekiranya Myanmar tetap berdegil, ASEAN perlu mengeluarkannya daripada menjadi anggota ASEAN.

Namun adakah ASEAN berani mengambil tindakan seperti itu termasuk membawa Myanmar ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)?

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memastikan Myanmar menghentikan kekejaman tersebut.

Jawatankuasa Nobel Norway juga perlu menarik semula anugerah keamanan yang pernah diberikan kepada Suu Kyi.

Tribunal Antarabangsa Mengenai Rohingya memutuskan Myanmar didapati bersalah melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap etnik Kachin, Rohingya serta masyarakat Islam negara itu.

Ia membuktikan, Malaysia berada di landasan betul dalam memperjuangkan isu tersebut sejak akhir tahun lalu lagi.

Dalam isu Rohingya, Suu Kyi, pemerintah tentera dan sesiapa terbabit melakukan genosid perlu diheret ke muka pengadilan antarabangsa dan mesti dihukum. Mereka tidak boleh lepas tangan atas kekejaman yang dasyat.

Ini kerana, sudah sebulan krisis ini berlarutan tetapi masih belum menampakkan ianya akan selesai.

Jika dibiarkan berlarutan, yang menderita adalah masyarakat Islam Rohingya.

Adakah perkara itu yang diinginkan oleh kerajaan Myanmar dan Suu Kyi?

Desakan berterusan perlu diberikan kepada Myanmar dan Suu Kyi kerana lambat laun akan ada sinarnya.

Berdasarkan perhatian daripada masyarakat dunia serta tekanan yang tinggi, kerajaan Myanmar pastinya akan mengalah.

Keyakinan adalah senjata utama dalam perjuangan diplomatik.

Ia dapat dilihat sebagaimana terkuburnya dasar Aparteid oleh rejim kulit putih Afrika Selatan.

Jangan berhenti memberikan tekanan kepada Myanmar.

Semoga penderitaan etnik Rohingya akan segera berakhir.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here