MASIH ada lagi talian hayat atau tidak untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad?

Ini kerana dalam kemelut yang berlaku membabitkan parti itu, Mahathir dilihat seakan buat acuh tak acuh dengan permasalahan yang berlaku.

Mahathir nampaknya lebih seronok dengan pangkat Pengerusi Pakatan Harapan dari jawatan yang ada dalam PPBM.

Adakah Mahathir mempunyai plan kedua bagi membolehkannya terus menjadi Pengerusi Pakatan Harapan?

Pelbagai kemungkinan akan berlaku kepada PPBM yang dinaungi oleh Mahathir. Salah satunya ialah pendaftaran parti tersebut akan dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kerana gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM).

RoS telah memberikan amaran terhadap PPBM berhubung perkara berkenaan namun hingga hari ini, AGM gagal juga diadakan dan ia merupakan satu kesalahan yang serius dari segi undang undang pertubuhan RoS.

PPBM kini telah melakukan tiga kesalahan yang melanggar perlembagaan parti iaitu tidak mengadakan mesyuarat tahunan, menubuhkan sayap pemuda dikenali sebagai Armada dan menangguhkan mesyuarat agung tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.

Meskipun berkemungkinan PPBM dibatalkan, namun Mahathir langsung tidak menunjukkan kebimbangan yang sangat.

Baru-baru ini, Mahathir bersama pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan lain bertemu dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Perjumpaan itu berhubung permohonan Pakatan Harapan kepada RoS untuk menjadi pakatan rasmi, bukannya mengenai PPBM.

Selepas mendakwa ada pihak yang senga­ja melengahkan proses pendaftaran Pakatan Harapan yang diketuai DAP, pemimpin utamanya terpaksa akur punca kelewatan itu disebabkan masalah yang dihadapi mereka sendiri.

Pakatan itu dimaklumkan bahawa kegagalan PPBM dan DAP mematuhi syarat ditetapkan oleh RoS sebagai punca utama kelewatan proses pendaftaran tersebut.

Bagaimanapun, Mahathir yang seolah-olah tidak mahu mene­rima hakikat itu kemudiannya menuding jari ke arah RoS ke­rana tidak memberitahu lebih awal, biar pun parti itu sendiri secara jelas melanggar perlembagaan parti.

Sepatutnya Mahathir mengambil berat dengan nasib PPBM yang kini diambang perpecahan namun beliau lebih sibuk dengan Pakatan Harapan.

Mungkin bagi Mahathir, jika PPBM terbatal pun, beliau mungkin boleh menumpang parti lain.

Apa yang penting pada Mahathir adalah jawatannya dalam Pakatan Harapan, bukannya dalam PPBM.

Terkubur pun tidak apa PPBM, janji Mahathir masih ada jawatan dalam pembangkang.

Sebelum ini tersebar khabar Mahathir akan menumpang DAP, namun kini ada kemungkinan Pengerusi Pakatan Harapan itu akan menjadikan Parti Amanah Negara (PAN) sebagai platform jika PPBM dibatalkan.

Senang cerita, jika satu parti dibatalkan, Mahathir masih ada parti lain untuk menapak.

Apatah lagi jaminan daripada Presiden Pakatan Harapan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail bahawa Pakatan Harapan bersedia jika PPBM dibatalkan, maka ia memberikan peluang lebih besar kepada Mahathir.

Banyak alasan boleh diberikan oleh Mahathir jika pendaftaran PPBM dibatalkan termasuk ia adalah salah kerajaan, iaitu satu alasan mudah yang sering digunakan oleh pembangkang walaupun ianya berlaku akibat kesilapan sendiri.

Kemarahan Mahathir apabila kemungkinan PPBM dibatalkan tidak sehebat kemarahannya melihat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memerintah negara.

Mahathir nampak tenang sahaja walaupun ahli PPBM yang lain kelam kabut memikirkan nasib parti mereka.

Kenapa Mahathir kelihatan tenang?

Adakah Mahathir sudah ada tempat untuk bertaut iaitu PAN?

Tambahan lagi, PAN sememangnya sentiasa mengalu-alukan kehadiran Mahathir.

Sebelum ini, Mahathir mengejutkan Presiden PAN, Mohamad Sabu dengan mengunjungi rumahnya.

Mat Sabu turut memasak nasi daging kambing, kambing goreng nampla, gulai ayam dan ikan masin goreng untuk dijamu kepada Mahathir.

Ini semua strategi politik yang sudah lama diatur oleh Mahathir.

Kesian PPBM, baru setahun jagung ditubuhkan, belum sempat untuk menyelamatkan Malaysia, sudah diambang pembatalan.

Jika dilihat kembali, pada 20 Mei 2017, PPBM Perak mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai presiden atau berdepan tindakan peletakan jawatan beramai-ramai ahli dan pemimpin PPBM di Perak.

Desakan itu dibuat oleh sebahagian besar daripada 24 bahagian PPBM di Perak setelah mendapati Muhyiddin bertanggungjawab di atas segala kepincangan parti yang berlaku di peringkat kebangsaan dan negeri.

Dalam sidang akhbar yang diadakan, seorang ahli PPBM Perak memaklumkan, perletakan jawatan Muhyiddin perlu bagi memastikan PPBM tidak terkubur.

Ayat yang digunakannya adalah, PPBM tetap akan terkubur, cuma cepat atau lambat sahaja.

Maka kini, adakah masanya yang mana PPBM akan terkubur sudah tiba?

Tidak mustahil kerana Pengerusi PPBM sendiri tidak mengendahkan parti berkenaan, sebaliknya sibuk dengan misi peribadinya.

Apa lagi talian hayat untuk PPBM, semua terserah kepada Mahathir.

Kalau mahu ‘bungkus’, jangan lupa ‘bungkus’ sekali dengan pakatan pembangkang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here