Negara akan menuju kehancuran sekiranya semua lulusan universiti di negara ini menganggap bahawa kerajaan berhutang dengan mereka dalam menyediakan pekerjaan sebaik tamat pengajian. Salahkan kerajaan adalah antara perkara utama yang dilakukan graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, anggapan seperti itu sebenarnya menyukarkan graduan universiti memperoleh pekerjaan kerana mereka menyangka ia adalah tanggungjawab kerajaan semata-mata.

Katanya, dunia hari ini adalah berbeza berbanding pada satu ketika dulu apabila semua lulusan universiti mudah mendapat pekerjaan.

“Dunia tak semacam itu, kadang-kadang ada peluang (tetapi) kadang-kadang tak ada peluang,” kata bekas Perdana Menteri dalam ucaptama semasa merasmikan Kem Ketahanan Nasional peringkat negeri Kedah di Kem Rimba Taqwa di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Dr. Mahathir, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali.

Kem tiga hari yang bermula semalam dianjurkan oleh Yayasan Pembangunan Masyarakat Kubang Pasu (YPMKP) dan dihadiri oleh 245 pelajar Tingkatan Enam Rendah sekolah menengah seluruh negeri ini.

Dr. Mahathir berkata demikian semasa mengulas laporan akhbar baru-baru ini, bahawa terdapat lebih 46,000 siswazah Melayu masih menganggur berbanding hanya 18,200 siswazah kaum lain yang menganggur.

Beliau yang juga Penaung YPMKP berkata, punca utama graduan universiti sukar mendapat pekerjaan adalah kerana mereka terlalu memilih pekerjaan selain memilih kursus yang menawarkan pekerjaan yang terhad.

Tambahnya, lulusan universiti tidak boleh marah kepada orang lain yang tidak memberikan mereka peluang bekerja sedangkan mereka sendiri memilih jurusan yang tidak tepat.

“Kita kena pilih jurusan yang baik dan kursus seperti itu biasanya tidak mudah untuk dipelajari,” ujarnya.

Beliau juga mengingatkan generasi muda Melayu agar tidak terlalu yakin bahawa bangsa Melayu akan terselamat selama-lamanya dengan hanya bersandarkan kepada kerajaan yang telah dipilih.

Menurutnya, kemerdekaan yang telah dikecapi selama ini bukan satu jaminan bahawa ia akan kekal selama-lamanya sekiranya orang Melayu terus leka dengan keadaan di sekeliling mereka.

Katanya, generasi muda Melayu harus berpandangan jauh ke hadapan dan membuat persediaan daripada sekarang jika hendak terus kekal merdeka daripada penjajahan dalam pelbagai bentuk.

“Kita bukan hanya pandang hari ini sahaja, tetapi kita perlu pandang sejauh 10 tahun, 20 tahun malah satu abad akan datang,” katanya.

Pada majlis tersebut, Dr. Mahathir juga turut menjawab soalan-soalan yang diajukan kepadanya oleh beberapa orang pelajar yang menghadiri kem berkenaan.

Soalan-soalan itu berkisar mengenai punca ramai orang Melayu terlibat dengan gejala sosial, usaha untuk membela orang Islam, pengangguran siswazah dan keberkesanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

ArtikelĀ Asal: 7 Okt. 2004

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here