DI ANTARA kerusi tradisi dan calon pilihan pengundi atau rakyat, yang mana perlu menjadi keutamaan?

Persoalan ini cukup besar yang perlu diteliti parti politik termasuk Barisan Nasional (BN) sebelum memilih calon bagi bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Apa akan jadi jika tersalah pilih? Parti-parti politik pasti sudah boleh mengagak apa akan terjadi.

Perkara ini dibangkitkan kerana, baru-baru ini UMNO Bahagian Sungai Besar di Selangor bersedia menerima dan memberi laluan kepada Ketua Wanita, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, jika pucuk pimpinan parti memilih bekas menteri Kabinet itu untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Ketuanya, Datuk Seri Jamal Md. Yunos berkata, beliau sendiri bersedia untuk mencadangkan Shahrizat bertanding mewakili kawasan itu meskipun ia masih terlalu awal dan belum pun dibincangkan lagi di peringkat bahagian berkenaan buat masa ini.

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2013 ekoran kontroversi yang melanda keluarganya tetapi kini dikhabarkan sudah bersedia untuk kembali pada PRU-14 nanti.

Ketika ini, Ahli Parlimen Sungai Besar disandang Budiman Mohd. Zohdi yang memenanginya dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil lalu.

Sementara itu, Shahrizat ketika diminta mengulas kesediaan UMNO Bahagian Sungai Besar tersebut berkata, tawaran Jamal merupakan satu penghormatan kepada Wanita UMNO keseluruhannya.

Selepas perkara itu dibangkitkan, pengundi di kawasan Sungai Besar mengakui sukar untuk menerima Shahrizat sebagai ahli Parlimen mereka yang baharu, lebih-lebih lagi dengan isu yang dihadapi ketua Wanita UMNO itu sebelum ini.

Mereka turut memandang sinis tindakan Shahrizat yang hanya memunculkan diri di kawasan itu menjelang pilihan raya umum (PRU).

Adakah langkah berkenaan patut dilakukan kerana Shahrizat tidak pernah menghulur sebarang bantuan di kawasan Sungai Besar?

Keputusan PRK Sungai Besar

Pada 18 Jun 2016, BN menang bergaya dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dengan mencatatkan majoriti besar.

Di Sungai Besar, calon BN, Budiman memperoleh kejayaan dengan majoriti 9,191 undi yang dianggap sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

Budiman meraih 16,800 undi diikuti Dr. Abdul Rani Osman dari PAS dengan 6,902 undi dan Azhar Abdul Shukur dari PAN dengan 4,883 undi.

Pada pilihan raya umum lalu, BN melalui Allahyarham Tan Sri Noriah Kasnoon hanya menang dengan majoriti 399 undi di Sungai Besar.

Kehilangan Noriah dirasai

Kehilangan Noriah dirasai oleh segenap lapisan masyarakat khususnya bagi penduduk di Sungai Besar, Sabak Bernam yang mana beliau menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak tahun 2004.

Noriah yang meninggal dunia pada usia 52 tahun, memulakan kerjayanya sebagai seorang peguam selepas menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) pada 1988 sebelum bergiat aktif dalam bidang politik.

Potensi Noriah yang adalah anak jati Sungai Burong, Tanjung Karang dalam bidang politik di Selangor dilihat menyerlah apabila diberikan amanah sebagai Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO SeĀ­langor pada 1992 dan seterusnya dilantik sebagai Setiausaha Barisan Nasional (BN) Selangor dari tahun 2000 hingga 2004.

Malah, Noriah turut diberikan kepercayaan mewakili BN untuk bertanding kerusi Parlimen Sungai Besar pada pilihan raya umum 2004 dan berjaya menewaskan calon PAS dengan memperoleh 15,337 undi.

Selain itu, Noriah pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat pada Mac 2008 hingga April 2009 sebelum dilantik semula memegang jawatan yang sama oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada November 2012.

Noriah turut diberikan kepercayaan menjawat jawatan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pada April 2009. Jawatan terakhir yang pegang beliau semasa hayatnya ialah Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Sepanjang hayatnya, Noriah disifatkan antara pemimpin yang memainkan peranan besar dalam pembangunan rakyat di negara ini selain antara pemimpin wanita yang mempunyai pengalaman luas dalam pentadbiran negara dengan memegang pelbagai portfolio dalam beberapa kementerian sebelum ini.

Malah, Noriah turut dikenali sebagai antara pemimpin wanita yang rajin serta gigih dalam meĀ­laksanakan sesuatu tugas.

Maka, tidak hairanlah apabila Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO Selangor, Halimaton Saadiah Bohan menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pergerakan itu khususnya di Selangor.

Adakah dengan pencapaian Noriah, maka kerusi Parlimen Sungai Besar perlu kepada wakil rakyat wanita pada PRU-14 akan datang?

Bagaimana pula dengan hasrat pengundi kawasan itu yang mahu Budiman terus bertanding di situ?

Apa yang lebih penting adalah, calon wakil rakyat yang bakal bertanding pada PRU-14 perlu mempunyai ciri calon disukai dan boleh menang.

Pendekatan pemilihan calon seumpama itu sudah terbukti pada PRK Parlimen Kuala Kangsar (Perak) dan Sungai Besar serta PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu di Sarawak yang menyaksikan BN menang dalam PRK berkenaan.

Jadi, sudah pasti ada jawapan mana yang penting antara kerusi tradisi dan calon pilihan pengundi.

Apa yang penting adalah kemenangan kepada parti dan mengikut kehendak serta keinginan rakyat.

Jadi, pengundi pilih yang mana …?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here