Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengingatkan mana-mana individu pemimpin di Telok Kemang agar terus sokong perjuangan BN dalam PRU 14 walaupun ketika mereka tidak dipilih sebagai calon bertanding.

Beliau yang juga menteri besar berkata, ramai pemimpin akar umbi yang ingin menjadi calon, justeru jika tidak terpilih individu berkenaan diharap tidak marah namun perlu tetap terus menyokong BN.

“BN kalah banyak kerusi di Negeri Sembilan dalam PRU 13 bukan kerana pembangkang kuat, tapi kita yang tembak kaki sendiri.

“Kita nak tubuhkan kerajaan BN yang kukuh yang ada 2/3 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri Sembilan dan Datuk Seri Najib Tun Razak (Pengerusi BN) juga mahu 2/3 kerusi dalam Parlimen.

“Di negeri ini, salah satu yang saya dan kita semua bertungkus lumus nak hadiahkan kepada presiden adalah kejayaan Parlimen Telok Kemang dan saya yakin kita boleh menang pada PRU kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel program Indian Young Stars Talk Show, di sini, kelmarin.

Penganalisis Politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian menjadi panel kedua dan program dikendalikan oleh moderator Panel Pemikir Jasa, Punithan Paramsiven.

Dalam pada itu, Mohamad turut menzahirkan keyakinan bahawa BN akan terus menerima sokongan padu daripada masyarakat India di negeri ini pada PRU 14 akan datang.

“Di Negeri Sembilan semua isu masyarakat India telah pun diselesaikan. Semua masalah selesai, tak ada isu, isu kuil dah selesai, isu sekolah jenis kebangsaan Tamil juga selesai,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad turut menjelaskan dasar-dasar yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi manfaat semua kelompok rakyat di negeri ini termasuk projek Lembah Wawasan Malaysia (MVV).

“MVV adalah pelan jangka panjang pemodenan Negeri Sembilan. Kita mahu laksanakan satu pembangunan yang mapan, lestari, terancang dan futuristik.

“Kita tak mahu mengulangi kegagalan sistem bandar raya yang lain dari segi pengangkutan awamnya, sistem pembangunannya.

“Melalui MVV yang dijangka mampu meraih sebanyak RM290 bilion pelaburan dan mewujudkan 1.38 juta peluang pekerjaan. Saya mahu anak-anak negeri ini rebut peluang yang ada,” katanya.

Mohamad berkata, melalui MVV juga ia mampu merubah landskap sosial dan ekonomi negeri.

Sekitar 300 pemuda dan pemudi masyarakat India hadir dan mengambil bahagian dalam program yang diadakan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here