Seorang pekerja sebuah resort di Pulau Pangkor dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam selepas didapati bersalah membunuh seorang wanita hamil yang juga majikannya, 10 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu terhadap Hamzah Osman, 28, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Dalam penghakimannya, Anselm berkata, keputusan itu mengambil kira hujahan dan penjelasan daripada pihak pendakwaan dan pembelaan selain keterangan 20 orang saksi-saksi.

“Di akhir pendakwaan, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan mahkamah ini kemudiannya memerintah untuk membela diri dan tertuduh memilih untuk berdiam diri.

“Setelah dengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah dapati kamu bersalah. Oleh itu, kamu akan digantung di leher sehingga mati,” katanya.

Hamzah yang memakai baju dan seluar putih dengan spontan mengucapkan terima kasih sebaik sahaja hukuman itu diputuskan.

Hamzah dituduh menyebabkan kematian Norazlida Iden, 31, dengan menggunakan sebatang kayu di salah sebuah bilik resort di Teluk Nipah kira-kira jam 1 pagi pada 18 Ogos 2008.

Tertuduh diwakili peguam, M Manoharan dan S Kirthiraj didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori manakala, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fadhli Ab Wahab.

Sebelum ini, Hamzah pernah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Hakim Datuk Adzam Abd Ghani pada 24 Oktober 2014 namun, rayuan telah difailkan di Mahkamah Persekutuan.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here