Kerajaan negeri Terengganu akan mengadakan kursus kesedaran kepada golongan “mak nyah” atau transvestit di seluruh negeri ini setelah jumlah sebenar mereka yang terjerumus ke dalam gejala itu diperoleh.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata perangkaan berkenaan dijangka diperoleh setelah bancian secara menyeluruh dilakukan bermula Januari nanti.

“Kita akan jalankan bancian pada minggu ke-3 Januari di mana kita tidak akan bersandarkan jumlah 17 orang yang sedia ada di Flat Petani, Kuala Terengganu (ketika ini).

Kita akan bekerjasama dengan ketua komuniti, seperti Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), agensi seperti polis, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) dan lain-lain lagi mengenal pasti golongan mereka ini tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama pada Majlis Penyerahan Bantuan Jom Ke Sekolah anjuran Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan DUN Ajil, hari ini.

Turut hadir Presiden GPMS Terengganu, Tengku Haphiz Datuk Tengku Putera dan Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail.

Sejumlah 150 orang murid sekolah rendah DUN berkenaan menerima bantuan satu set kelengkapan persekolahan bernilai RM200 daripada peruntukan sumbangan Yayasan Taqwa berjumlah RM30,000.

Adun Ajil itu berkata demikian ketika mengulas laporan media mengenai isu golongan pondan yang didapati menjadikan kawasan Flat Petani, di pinggir bandar Kuala Terengganu sebagai sarang maksiat dan pelacuran.

Katanya, kursus kesedaran dijangka diadakan selama 3 hari 2 malam itu akan memfokuskan bagaimana membantu mereka untuk kembali kepada kehidupan yang sebenar.

“Saya tahu memang agak sukar tapi kita akan mencuba sebaik mungkin. Setelah itu kita akan jalankan kajian untuk melihat kecenderungan dan minat mereka sama ada jahitan, gubahan, memasak atau hiasan.

Jika mereka berminat, bantuan akan disalurkan Maidam jika mereka ini daripada golongan layak dan miskin.

Jika yang tidak layak mendapat zakat, kita akan cuba salurkan bantuan daripada Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) untuk membantu mereka ini membina hidup baru,” katanya.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here