DALAM kalangan ahli DAP sendiri kini, pastinya wujud kebimbangan dalam diri mereka sama ada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti berkenaan akan diadakan secara telus atau tidak?

Jika diimbas kembali, rakyat terutama ahli DAP pastinya mengingati kepada CEC DAP perlu diadakan semula?

Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Julai lalu mengarahkan DAP supaya mengadakan semula pemilihan CEC parti berkenaan.

Ia ekoran aduan ahli DAP sendiri terhadap dakwaan manipulasi dan penipuan dalam pemilihan CEC pada 29 September 2013.

Ianya bukan dakwaan pihak luar tetapi dalam kalangan ahli DAP sendiri.

Kenapa pemilihan semula CEC DAP perlu dilakukan?

DAP perlu membuat pemilihan CEC yang baharu secara telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC mereka yang sah dan diiktiraf.

Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama parti mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan Parti DAP itu sendiri.

Pada 9 Oktober lalu, Setiausaha Agung DAP yang belum disahkan jawatan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilihan semula CEC DAP akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal Shah Alam (IDCC) pada 12 November ini.

Persoalan kini, adakah pemilihan semula itu akan diadakan secara telus?

Belum pun diadakan pemilihan, Guan Eng dibidas kerana didakwa melanggar perlembagaan parti itu apabila mahu mengadakan pemilihan semula CEC menerusi Kongres Khas.

Berdasarkan peruntukan Fasal VIII, Perkara 8 Perlembagaan DAP, Kongres Khas hanya boleh diadakan bagi membincangkan perkara tertentu, bukannya berfungsi mengadakan pemilihan jawatan kuasa berkenaan.

Pemilihan semula CEC hanya boleh diadakan dalam Kongres Kebangsaan DAP termasuk tempoh 10 minggu diberikan kepada perwakilan serta calon untuk berkempen.

Jadi, adakah rancangan DAP untuk menga­dakan pemilihan semula CEC dalam Kongres Khas pada 12 November ini melanggar perlembagaan parti?

Perkara itu juga pastinya bertentangan dengan hasrat ahli serta perwakilan DAP di peringkat akar umbi.

Lebih membimbangkan, pemilihan semula itu nanti turut memberi tempoh dua minggu kepada perwakilan dan calon untuk berkempen.

Tindakan itu bukan sahaja melanggar perlembagaan parti, tetapi juga dilihat tidak adil kerana hanya memberikan kelebihan kepada Guan Eng.

Kenapa Guan Eng dan pengurusan DAP masih belum mengeluarkan surat rasmi kepada perwa­kilan berhubung pemilihan semula CEC itu?

Notis sepatutnya diberikan kepada setiap cawangan dalam tempoh 10 minggu sebelum pemilihan berlangsung.

Tetapi bukan sahaja notis, senarai penuh perwakilan untuk pemilihan semula CEC bulan depan juga masih belum didedahkan.

Apa yang yang dimahukan ahli akar umbi DAP adalah pemilihan semula yang telus, terbuka dan bebas supaya keputusan itu nanti tidak akan dipertikaikan.

Sebelum ini, kepemimpinan DAP disaran melantik ROS sebagai pemerhati dalam proses pemilihan semula CEC parti tersebut.

Langkah itu bertujuan memastikan ketelusan pemilihan selain menangani segala kekhuatiran daripada unsur sabotaj, penipuan dan masalah teknikal daripada berulang.

Adakah DAP telah berbuat demikian?

Kepemimpinan DAP harus berhenti daripada menuding jari kepada sesiapa sahaja.

Sebaliknya, parti itu perlu mengadakan pemilihan jawatankuasa pusat secara profesional dan berintegriti sebagaimana sering dicanangkan kepada rakyat.

Teluskah pemilihan semula CEC DAP? 12 November ini pastinya dinantikan.

Jika tidak, drama DAP akan tetap menjadi sama sahaja.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here