Teksi Grab Uber

RANG Undang-Undang Pengangkutan Darat (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu memberi satu dimensi baru dalam perkhidmatan pengangkutan awam di negara ini.

Dengan kelulusan ini, perkhidmatan Grab dan Uber yang selama ini beroperasi tanpa kawal selia, dan sering menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pemandu teksi, kini diiktiraf sebagai pengangkutan awam yang sah di sisi undang-undang .

Malaysia melakar sejarah menjadi negara pertama di dunia mengambil langkah sedemikian. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk  Seri Nancy Shukri, ini adalah kali pertama penyedia ‘e-hailing’ dikawal selia.

Kehadiran Grab dan Uber sebagai alternatif kepada teksi telah sejak sekian lama bagai ‘duri dalam daging’ kepada para pemandu teksi. Grab dan Uber dianggap sebagai ‘pengacau’ yang merosakkan  periuk nasi para pemandu teksi.

Tambang Grab dan Uber yang lebih murah, di samping sedia mengambil penumpang di lokasi di mana mereka berada, menjadikan perkhidmatan Grab dan Uber semakin menjadi pilihan pengguna. Pemandu-pemandu  teksi pula semakin tertekan dengan saingan daripada kedua-dua perkhidmatan tersebut.

Tambang lebih murah mampu ditawarkan oleh Grab dan Uber kerana mereka tidak terikat dengan pelbagai syarat yang perlu dipatuhi para pemandu teksi seperti bayaran sewa harian teksi, insurans, pemeriksaan berkala  dan sebagainya.

Bagi  pengguna, tambang lebih murah adalah daya penarik. Tambang ke destinasi tertentu sudah dimaklumkan lebih awal ketika membuat tempahan. Pengguna cuma perlu memilih untuk setuju atau tidak dengan tambang yang ditetapkan oleh pihak Grab atau Uber.

Ramai pengguna beranggapan perkhidmatan Grab dan Uber lebih efisyen serta kurang karenah dibandingkan dengan teksi. Misalnya ada kalanya teksi enggan mengambil penumpang dengan pelbagai alasan atau enggan menggunakan meter.

Perkhidmatan Grab dan Uber menggunakan kereta pemilik. Ketika menghubungi Grab atau Uber, pengguna bukan sahaja dimaklumkan mengenai tambang tetapi juga kereta apa yang bakal mengambil mereka.  Mereka boleh menolak jika kereta tersebut tidak berkenan di hati.

Faktor-faktor inilah yang menjadikan Uber dan Grab kian diminati dan menambah keluh kesah para pemandu teksi. Pastinya sebagai pihak yang dikawal selia dan perlu mematuhi pelbagai syarat, pemandu teksi berasa kecewa kerana saingan mereka bebas beroperasi tanpa kawalan.

Mengambil kira hakikat inilah, dan dalam usaha memastikan kepentingan pelanggan Uber dan Grab sentiasa terpelihara, kerajaan mengambil langkah mengawal selia perkhidmatan Grab dan Uber melalui Rang Undang-Undang Pengangkutan Awam Darat  (Pindaan) 2017 dan Rang Undang-Undang Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan .

Menurut  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri, dengan penguatkuasaan ini Grab dan Uber perlu mematuhi beberapa syarat seperti pemeriksaaan kesihatan, pemeriksaan kenderaan berkala serta keperluan dilindungi insurans.

Ini bermakna dengan penguatkuasaan udang-undang ini, Grab dan Uber yang beroperasi secara ‘bebas’ sebelum ini akan tertakluk kepada kawal selia. Langkah ini bukan hanya memastikan perkhidmatan itu dipantau dan dikawal selia,  tetapi keselamatan dan kepentingan pengguna  dilindungi.

Untuk menjadikannya lebih berkesan, saluran aduan untuk perkhidmatan ‘e-hailing’ juga disediakan, sama ada daripada pengendali, pemandu, atau pengguna perkhidmatan yang boleh disalurkan terus kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan  LPKP.

Penguatkuasaan undang-undang ini bermakna Uber dan Grab dari segi kawal selianya menyamai teksi. Justeru para pemandu teksi juga sudah tidak boleh menggunakan alasan Gab dan Uber bebas lepas sepeti sebelum ini. Grab dan Uber kini berada berada pada ‘padang sama rata ’ dengan teksi dalam persaingan mendapatkan pelanggan.

Dalam hal ini, pihak yang menawarkan perkhidmatan terbaik dengan kos lebih rendah akan menjadi pilihan ramai.  Untuk bersaing dengan Uber dan Grab, perkhidmatan teksi perlulah lebih efisyen dan memberikan layanan terbaik untk pelanggan.

Rungutan yang seringkali terdengar seperti teksi memilih destinasi; enggan pergi ke destinasi yang  ada kesesakan lalu lintas; enggan pergi ke destinasi dekat; enggan menggunakan meter dan sebagainya perlulah dihentikan.  Ingatlah, saingan sedia menanti memberikan khidmat alternatif kepada pengguna.

Cuma soalnya kini, dengan pelaksanaan undang-undang kawal selia di mana Grab dan Uber sudah setara dengan teksi daripada segi syarat-syarat penyediaan perkhidmatan, adakah kedua-dua perkhidmatan tersebut masih mampu mempertahankan tambang lebih murah?

Pengguna mempunyai pelbagai citarasa. Ramai yang suka tambang murah, apatah lagi jika diiringi perkhidmatan yang baik. Namun ramai juga yang lebih utamakan mutu perkhidmatan. Jika tambang murah sekalipun tetapi perkhidmatan tidak memuaskan mereka akan menolak.

Ada pula yang tidak berkira membayar tambang lebih mahal asal perkhidmatan efisyen. Namun yang pasti pengguna tidak suka jika tambang mahal, perkhidmatan pula tidak memuaskan.

Samaada perkhidmatan teksi, Grab atau Uber sebenarnya sudah mempunyai bahagian pasaran atau ‘share market ’ masing-masing di kalangan pengguna. Mereka ini bagai pelanggan tetap.

Justeru persaingan antara perkhidmatan teksi , Uber serta Grab kini adalah untuk menonjolkan siapa yang mampu memberi perkhidmatan lebih baik, dan seterusnya mampu mengubah ‘market share’ ini.

Percayalah, yang terbaik akan menjadi pilihan pengguna.  Oleh itu, berusahalah menjadi yang terbaik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here