Israel

Seluruh dunia harus terus bersatu dalam memberi tekanan kepada Israel. Ini susulan tindakkan terbaru Israel yang menutup Masjid al – Aqsa serta tidak membenarkan solat Jumaat diadakan didalamnya. Tindakkan tidak berperikemanusiaan ini diambil selepas kejadian pembunuhan terhadap dua anggota polis Israel baru – baru ini yang dikatakan telah dibunuh oleh tiga warga Palestin.

Tiga warga Palestin berkenaan telah melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di perkarangan Masjid Al – Aqsa dimana kemudian mereka yang dibunuh oleh anggota polis mereka.

Insiden berkenaan termasuk dengan tindakkan penutupan Masjid Al – Aqsa telah mendapat kecaman bukan sahaja daripada penduduk Palestin malah dari semua umat Islam diserata dunia kerana ianya dilihat sebagai usaha membalas dendam serta usaha berpanjangan

Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin terhadap masjid berkenaan, bandar baitulmaqdis serta kemerdekaan negara mereka secara keseluruhannya. Penduduk Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian semenjak penubuhan negara Israel pada tahun 1948 dan rampasan bandar Baitulmaqdis, Tebing Barat dan Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Sudah lebih setengah abad, penduduk Palestin menjadi mangsa kekejaman oleh pihak Israel. Secara realitinya, agak sukar untuk membawa Israel ke muka pengadilan kerana setiap tindak tanduk mereka sentiasa dilindungi oleh sekutu rapat mereka iaitu Amerika Syarikat.

Oleh yang demikian, usaha bersepadu perlu diambil bagi menundukkan Israel. Ia hanya dapat dilakukan melalui kerjasama semua negara dunia. Semua negara dunia harus bekerjasama memberi tekanan terhadap Israel untuk menghentikan segala tindak tanduk kejam mereka serta menghentikan segala usaha mereka untuk menafikan hak rakyat Palestin.

Usaha kerjasama ini pernah diambil pada masa yang lalu dimana pada penghujung tahun 2016 yang lalu pihak Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PPB) telah berjaya meluluskan satu resolusi yang mengecam serta yang mengesa agar Israel menghentikan dengan segera segala aktiviti pembinaan penempatan haramnya ditanah milik Palestin.

Resolusi 2334 berkenaan telah mendapat kelulusan dari 14 buah negara yang menganggotai Majlis Keselamatan, PBB berkenaan termasuk Malaysia. Amerika Syarikat pula telah mengambil langkah berkecuali.

Ini jelas menunjukkan semangat bersatu padu semua pihak dalam berdepan dengan Israel boleh diambil sekiranya kita dapat menghentikan segala perbezaan pendapat yang ada serta meletakkan fokus serta harapan utama untuk mewujudkan keamanan sejagat dan berkekalan di rantau Timur Tengah terbabit.

Pelbagai langkah boleh diambil oleh masyarakat antarabangsa terhadap Israel seperti memutuskan semua bentuk hubungan diplomatik dengannya sama ada hubungan politik, hubungan ekonomi, hubungan kebudayaan dan lain – lain, mengenakan sekatan ekonomi terhadapnya serta mengusahakan satu langkah drastik bagi menyingkirkan Israel terus dari PBB.

Semua negara juga boleh melancarkan usaha bagi menghulurkan bantuan kemanusian kepada rakyat Palestin dengan melancarkan misi – misi kemanusian setiap hari melalui jalan darat, udara serta laut seperti misi bot flotilla yang telah dilakukan oleh beberapa buah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) selama ini.

Walaupun segala usaha yang ingin diambil ini sukar dilaksanakan terutamanya tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat negara Israel seperti kerajaan Amerika Syarikat khususnya dibawah pimpinan Presidennya yang baru iaitu Donald J. Trump yang dilihat lebih memihak kepada negara Yahudi, namun segala langkah yang boleh diambil ini sekurang – kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala tindakkan keganasan yang dilakukan oleh mereka terhadap rakyat Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here