TAYANG siaran ulangan Liga Perdana Inggeris (EPL) pun belum tentu Pakatan Harapan boleh laksanakan.

Inikan mereka mahu menyiarkan liga berkenaan secara percuma tanpa perlu menerusi saluran berbayar.

Perlu diketahui bahawa, hak penyiaran untuk EPL dipegang oleh Astro sehingga tahun 2019.

Astro difahamkan membayar hingga hampir mencecah RM1 bilion untuk hak penyiaran untuk musim 2013 sehingga 2016.

Untuk tahun 2016-2019 pula, Astro telah mengalahkan pembida terdekat iaitu BeIN Media.

Bidaan EPL dibuat secara tender terbuka dan bukannya rundingan terus atau projek kroni.

Soalannya, dari mana, Pemuda Pakatan Harapan hendak mencari duit untuk membida dan membeli hak penyiaran EPL?

Siapa sangka siaran langsung perlawanan bola sepak EPL pun boleh dijadikan modal politik pembangkang.

Mungkin kerana mahu mena­rik perhatian orang muda, sebab itu sanggup berjanji sedemikian.

Kalau ikut kata mereka, peminat kelab Liverpool, Manchester City, Chelsea dan lain-lain lagi boleh menonton aksi pemain kesayangan mereka di Radio Televisyen Malaysia (RTM) serta tidak perlu lagi melanggan menerusi sebuah stesen televisyen berbayar.

Mengikut logik mudah mereka apabila siaran bola sepak antarabangsa boleh ditonton percuma, lebih ramai peminat akan menonton di rumah bersama keluarga berbanding di restoran 24 jam ketika ini. Ini seterusnya akan dapat mengukuhkan nilai-nilai kekeluargaan, kata mereka.

Bunyinya memang menarik kerana semua orang sukakan benda percuma. Sekali pandang, janji yang merupakan antara 10 dasar teras manifesto pemuda pakatan pembangkang itu boleh menggoda pengundi muda.

Walaupun semuanya nampak indah di atas kertas, realitinya ia bukan mudah untuk dilaksanakan.

Untuk menyiarkan perlawanan secara percuma di RTM, hak penyiaran EPL perlu diperoleh. Bidaan mesti dibuat dan dan nilainya bukan kecil.

Berdasarkan laman web EPL, antara syarikat yang mendapat hak penyiaran antarabangsa bagi musim 2016 hingga 2019 ialah Singtel di Singapura, Optus (Australia), NBC Sports (Amerika Syarikat), Letv (Hong Kong) dan juga Astro.

Dengan populariti liga itu terus melonjak, nilai bidaan untuk mendapatkan hak penyiaran akan meningkat setiap kali tawaran dibuka.

Persoalannya, jika kerajaan Pakatan Harapan berkuasa selepas PRU-14 dan melaksanakan janji itu, siapa yang perlu membayarnya?

Hampir pasti duit rakyat dan negara bakal digunakan untuk membayarnya.

Berbaloikah kerajaan membayar ratusan juta ringgit setahun hanya sekadar untuk menyiarkan perlawanan bola sepak percuma?

Pastinya janggal apabila ada sebuah kerajaan menjadikan sia­ran bola sepak sebagai agenda negara dan perbelanjaan itu dibentangkan dalam bajet setiap tahun.

Bukan niat memperkecilkan minat terhadap bola sepak tetapi lebih banyak perkara bermakna boleh dilaksanakan dengan wang tersebut selain daripada hanya untuk menggalakkan peminat bola sepak menonton di rumah.

Lagipun, menonton EPL bersama rakan di restoran sambil memakai jersi kelab masing-masing sudah menjadi trend orang muda hari ini.

Jadi, janji Pakatan Harapan itu boleh disifatkan sebagai tidak berfaedah dan sukar diterima akal.

Janji itu sekadar pendekatan populis pembangkang bagi memikat perhatian generasi muda yang keba­nyakannya peminat bola sepak EPL dan liga-liga antarabangsa lain.

Lebih baik duit ratusan juta ringgit itu digunakan untuk membina stadium, kompleks sukan atau membangunkan sukan dari peringkat akar umbi.

Langkah itu supaya pasukan bola sepak negara boleh masuk Piala Dunia. Bukan sekadar untuk keselesaan menonton EPL pada hari Sabtu atau Ahad semata-mata.

Selain menyiarkan perlawanan EPL percuma, beberapa dasar pakatan untuk orang muda juga tidak praktikal dan tidak memikirkan impak kewangan terhadap negara jika dilaksanakan.

Antaranya, pendidikan percuma dan pembatalan bayaran lesen motosikal.

Begitu juga de­ngan janji pembayaran semula Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya selepas gaji peminjam mencecah RM4,000 akan menyebabkan pinjaman tidak dapat dikutip dalam tempoh lama.

Ini kerana dalam situasi pekerjaan hari ini, kebanyakan graduan mungkin mengambil masa antara tujuh hingga 10 tahun untuk memperoleh gaji sedemikian dan komitmen hidup pula semakin banyak. Akibatnya, PTPTN bakal kekurangan dana untuk memberi pinjaman baharu.

Jelas manifesto Pemuda Pakatan Harapan itu tidak berpijak di bumi nyata dan dibuat tanpa pengiraan terperinci tentang baik buruknya terhadap kemampuan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

Berjanji memang mudah kerana ia percuma tetapi apabila tiba masa untuk melaksanakannya ketika itulah wang perlu dihitung.

Umpama gula, janji-janji yang ditaburkan mereka memang manis tetapi kemanisan berlebihan boleh mengundang kemudaratan.

Berjanji memang mudah, bila sudah menang, janji dilupakan. Itulah realiti Pakatan Harapan.

Semua orang sudah tahu muslihat itu!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here