APABILA Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad dinamakan Pakatan Harapan (PH) sebagai calon perdana menteri mereka lebih seminggu lalu, rakyat sudah mula berteka-teki mengenai kawasan manakah yang akan ditandingi bekas perdana menteri itu pada pilihan raya umum (PRU) kelak. Tentunya dalam usaha ‘bermati-matian’ beliau untuk menjatuhkan YAB Dato’ Sri Najib Razak dan Barisan Nasional (BN), Mahathir mahukan kerusi yang dijamin “selamat”.

Sehingga kini, antara kawasan yang disebut-sebut sebagai tempat ataupun kawasan yang berkemungkinan besar ditandingi Pengerusi PH itu adalah Langkawi, Kubang Pasu dan juga Putrajaya. Sementara Langkawi dan Kubang Pasu disifatkan sebagai kawasan tradisi bekas perdana menteri tersebut, Putrajaya pula mungkin dilihat sebagai sebuah legasi yang dibinanya sekaligus memperlihatkan keyakinan beliau untuk mempengaruhi para pengundi mengenai kesungguhannya untuk menawan kembali Wilayah Persekutuan itu daripada BN.

Sedang ramai masih lagi mencongak kawasan yang paling ‘ideal’ untuk Mahathir, tiba-tiba datang Menteri Besar Selangor merangkap Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melalui catatan di akaun Twitternya kelmarin yang menawarkan kerusi yang dimenanginya selama dua penggal, Gombak, kepada Mahathir. Menurut Azmin, itulah bentuk pengorbanan yang sanggup beliau lakukan bagi memastikan agenda PH untuk membentuk kerajaan di peringkat persekutuan pasca PRU14 kelak tercapai.

Soalnya, benarkah tindakan Azmin itu sememangnya satu bentuk ‘pengorbanan’? Atau adakah itu merupakan satu helah beliau untuk ‘memerangkap’ Mahathir?

Kawasan Tak Selamat Buat Azmin

Jika dilihat kembali kepada rekod undian pada PRU12 dan PRU13 yang lalu, Azmin ternyata berjaya mempertahankan kerusi Gombak dengan majoriti yang tidaklah boleh dikatakan tipis, namun tidak pula terlalu banyak. Pada PRU12, Azmin menang menewaskan calon UMNO pada ketika itu, Said Anuar Said Ahmad dengan majoriti 6,867 undi manakala pada PRU13 pula, Azmin mengekalkan penguasaan di kerusi tersebut dengan majoriti 4,734 undi, menewaskan Raman Ismail juga daripada UMNO. Jelas, kemenangan Azmin pada kedua-dua PRU tersebut adalah dengan undi lebih daripada 50 peratus.

Tetapi itu adalah cerita lama. Sebuah cerita di mana kesemua parti pembangkang berada dalam blok yang sama – Pakatan Rakyat (PR). Kemenangan Azmin pada ketika itu tidak boleh dinafikan telah disumbangkan dengan begitu penting sekali oleh PAS dan jentera yang digerakkan penyokong parti Islam tersebut. Malah, markas PAS di Taman Melewar menjadi antara pusat berhimpun paling popular penyokong parti itu sehingga kini, menjadikan Gombak sememangnya sebuah kawasan yang dipengaruhi hebat oleh PAS.

Maka apabila PAS memutuskan untuk keluar daripada pakatan pembangkang pada 2015, kekuatan PKR dan Azmin sendiri di Gombak jelas terjejas teruk. Pertembungan tiga penjuru BN-PH-PAS sudah pasti akan berlaku, menyebabkan undi orang Melayu Islam di kawasan tersebut bakal berpecah tiga. Umum mengetahui dengan pertembungan seumpama itu, PH bakal menjadi pihak yang paling terkesan. Undi penyokong pembangkang bakal terpecah antara PH dengan PAS, sementara UMNO terus solid dengan undi penyokong sedia ada.

Jelas, Gombak bukan lagi kawasan yang selamat untuk Azmin dan PH secara keseluruhannya. Keputusan Azmin dalam menawarkan kerusi Gombak kepada Mahathir boleh difahami sebagai satu taktik ataupun strategi tersirat menteri besar Selangor itu untuk mengelakkan sebarang kekalahan peribadi pada PRU kelak. Tidak hairanlah jika Azmin sendiri kini sedang mengintai untuk bertanding di Shah Alam, sebuah kawasan yang diduduki pengundi urban yang disifatkan lebih “selamat” untuk beliau.

Jika hendak “lari” begitu sahaja, dikhuatiri nampak penakut dan tak “gentleman” pula. Maka alasan perlu dicari Azmin agar dirinya boleh mengelak daripada sebarang pertandingan di Gombak. Dalam hal ini, Azmin nampaknya seolah-olah mahu Mahathir sendiri yang menghadapi risiko kekalahan di kerusi tersebut.

Azmin Pun Nak Jadi PM

Ini bermakna, Azmin secara tidak langsung cuba ‘menipiskan’ peluang Mahathir untuk menang sekaligus menjadi perdana menteri sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan persekutuan pasca PRU14 kelak. Umum juga sudah sedia maklum bahawa sebelum Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri pakatan pembangkang tersebut, Azmin merupakan nama yang selalu disebut-sebut sebagai antara calon PH yang paling berketerampilan untuk menjadi perdana menteri sekiranya Putrajaya berjaya ditawan.

Atas hakikat dan fakta tersebut, maka satu persoalan berkaitan yang wajar dibangkitkan adalah; adakah penawaran kerusi Gombak yang dibuat oleh Azmin kepada Mahathir sebenarnya adalah satu taktik menteri besar Selangor itu bagi menggagalkan usaha Mahathir untuk kembali menjadi perdana menteri? Ianya bukan rahsia lagi bahawa sememangnya di sana terdapat ramai pihak yang tidak bersetuju dan tidak selesa dengan pencalonan Mahathir sebagai perdana menteri. Malah mereka beranggapan bahawa PH memiliki ramai lagi tokoh lain – termasuklah Azmin sendiri – yang dirasakan lebih layak.

PH Berisiko ‘Terlepas’ Selangor?

Congakan politik yang mudah boleh memberitahu rakyat bahawa buat masa sekarang, PKR tentu sahaja jauh lebih kuat berbanding PPBM dalam menarik undi daripada mana-mana kaum sekalipun. Pengaruhnya juga jauh lebih hebat jika hendak dibandingkan dengan parti setahun jagung itu. Maka jika Azmin sendiri tidak yakin dengan kemenangan PKR di Gombak, bagaimana pula dengan PPBM? Jika Azmin sendiri sudah rasa tidak selamat, maka Mahathir jauh lebih tidak selamat di situ.

Perkembangan terbaharu ini sedikit-sebanyak memberitahu rakyat bahawa PH akan terus bergelut dalam mana-mana kawasan majoriti Melayu yang tinggi di mana pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dengan PAS seakan pasti tidak dapat lagi dielakkan. Cita-cita mereka untuk membentuk kerajaan pasca PRU kelak mungkin sahaja terbantut dek kerana tindakan berprinsip PAS untuk tetap bersendirian menentang BN dan PH nanti.

Buat Azmin dan PKR sendiri, situasi itu juga boleh menjadi lebih parah di Selangor di mana undi orang Melayu memainkan peranan yang sangat signifikan di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Dengan undi Melayu yang sudah terpecah tiga, negeri yang terkaya di Malaysia itu boleh sahaja “terbang” kembali ke tangan BN dan UMNO. Akibatnya, dalam perseteruan berdekad mereka dengan BN, PH juga nampaknya bakal ‘membina’ satu lagi permusuhan dengan api dendam terhadap PAS untuk tempoh yang panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here