DALAM satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai pelarian, Vivian Tan, mendedahkan bahawa jumlah keseluruhan orang Muslim Rohingya yang melarikan diri ke Bangladesh sejak krisis keganasan di Myanmar kembali memuncak dua minggu lalu kini sudah mencecah 270,000 orang.

Dalam tempoh itu juga, seramai 1,000 orang telah dilaporkan terbunuh dengan kebanyakannya adalah etnik minoriti Muslim Rohingya. Jumlah terbaru seperti yang didedahkan ini tentunya sangat memeranjatkan, menjadikan krisis ini semakin tenat dan kritikal.

Angka ini juga seharusnya mengetuk naluri kemanusiaan masyarakat antarabangsa untuk mempercepatkan langkah dan tindakan dalam menangani isu ini dengan segera.

Ke Mana Muslim Rohingya?

Sejak siri penganiayaan ke atas etnik minoriti Rohingya bermula sekitar 1960-an iaitu selepas berlakunya rampasan kuasa tentera di Myanmar pada 1962, lebih sejuta masyarakat etnik itu dilaporkan telah melarikan diri dan cuba membina kehidupan baru di pelbagai negara.

Menurut agensi berita Al-Jazeera, sehingga kini, jumlah pelarian Rohingya di Bangladesh sahaja dianggarkan mencecah 625,000 orang, manakala seramai 350,000 orang lagi mencari perlindungan di Pakistan. Arab Saudi juga menjadi antara negara tempat berlindung di mana seramai 200,000 orang Muslim Rohingya dikatakan berada di sana.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia terbukti menjadi negara yang paling menjadi tumpuan untuk pelarian ini mencari perlindungan. Sehingga kini, dianggarkan seramai 150,000 orang Rohingya sudah berada di Malaysia, diikuti Thailand seramai 5,000 orang dan Indonesia dengan 1,000 orang.

Tekanan Antarabangsa Dan Komitmen AS

Selari dengan peningkatan mendadak jumlah pelarian ini, siri keganasan dan pencabulan hak asasi manusia di Myanmar mula mengundang perhatian dan tekanan dari pelbagai pihak di serata dunia. Pembakaran perkampungan secara besar-besaran selain penyeksaan dan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan keselamatan di wilayah bergolak itu membuatkan masyarakat antarabangsa yang perihatin tidak lagi boleh berdiam diri.

Antara negara terawal dan dilihat paling vokal dalam membangkitkan kesedaran mengenai penindasan terhadap etnik Rohingya adalah Turki melalui kenyataan-kenyataan tegas Presidennya, Reccep Tayyip Erdogan. Tentu sahaja ketegasan dan keperihatinan Erdogan ini bertitik tolak daripada kejelikan beliau melihat begitu banyak pihak yang sekadar membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap apa yang terjadi.

Setelah beberapa lama isu ini timbul, Amerika Syarikat (AS) juga akhirnya telah menyatakan kebimbangan mengenai krisis yang berlaku, lantas menggesa pihak berkuasa di Myanmar untuk memberikan akses kepada misi-misi kemanusiaan antarabangsa untuk masuk ke kawasan konflik di Rakhine. Walau bagaimanapun, kesungguhan AS untuk melihat krisis ini menemui noktahnya belum boleh dijamin sehinggalah satu tindakan konkrit diambil bagi memberi tekanan kepada Myanmar seperti mana yang telah negara Uncle Sam itu lakukan kira-kira dua dekad lalu.

Pada 1997, AS mula mengenakan sekatan ekonomi ke atas Myanmar sebagai satu tekanan ke atas pemerintahan tentera junta tersebut dalam satu usaha AS untuk membuka ruang demokrasi di negara itu. Tekanan itu akhirnya berjaya mengubah iklim politik Myanmar secara perlahan-lahan sehinggalah AS berpuas hati dengan perubahan yang berlaku dan membatalkan semula sekatan itu pada tahun lalu.

Pelbagai faktor dijangka akan mempengaruhi tindakan AS berhubung isu Rohingya ini. Dengan mengambil kira ianya adalah isu yang banyak diapi-apikan oleh nasionalis Buddha selain faktor pengaruh ekonomi China yang kuat di Myanmar, Washington tentunya akan memilih sikap yang lebih berhati-hati dan berlembut dalam sebarang pendekatannya terhadap Yangon agar rakan barunya itu tidak terlalu ‘condong’ ke arah Beijing.

*Hipokrisi Aung San Suu Kyi *

Krisis yang semakin kritikal ini akhirnya membawa perbahasan ramai pihak kepada apa yang telah pemimpin ‘de facto’ Myanmar, Aung San Suu Kyi lakukan bagi memperbaiki situasi semasa. Sebagai pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang telah pun diberikan mandat pemerintahan, Suu Kyi digesa dan didesak masyarakat antarabangsa untuk berbuat sesuatu bagi menghentikan pembersihan etnik ini.

Malangnya, sikap Suu Kyi dalam hal ini sangat mengecewakan. Tanpa rasa bersalah, beliau berpendirian apa yang sedang berlaku di Rakhine bukanlah pembersihan etnik. Ramai pemerhati antarabangsa mengecam Suu Kyi kerana beliau tidak pernah cuba untuk membawa suara masyarakat Rohingya di sana. Lantaran itu, tidak hairanlah begitu ramai pihak yang menggesa supaya Anugerah Nobel Keamanan yang dimenanginya pada 1991 ditarik balik. Melihatkan keengganan Suu Kyi untuk membela nasib etnik Rohingya, maka sesuailah beliau untuk dilihat sebagai satu-satunya pemenang Anugerah Nobel Keamanan yang paling memalukan dalam sejarah.

Ketika diwawancara oleh seorang wartawan agensi berita BBC pada 2013 mengenai hipokrisi beliau dalam isu ‘penyembelihan’ Muslim di Myanmar, Suu Kyi terus membentak kerana tidak dimaklumkan lebih awal bahawa beliau akan diwawancara oleh seorang Muslim. Di sini, dasar perkauman dan kebencian yang Suu Kyi miliki terhadap Islam begitu jelas.

Peranan Songsang Media

Dan ianya juga semakin jelas kepada kita mengapa begitu banyak agensi berita Barat yang berpengkalan di AS dan Eropah enggan melaporkan krisis ini secara telus. Jika ada pun, kebanyakannya hanya berkisarkan mengenai pertempuran antara pasukan keselamatan Myanmar dengan kumpulan militan Rohingya, sekaligus melencongkan terus fokus yang sepatutnya diberikan kepada penindasan dan kekejaman yang berlaku terhadap etnik Rohingya terbanyak.

Bayangkan bagaimana situasi ini akan berubah jika mangsa yang ditindas itu adalah orang Yahudi ataupun Kristian, bahkan penganut Buddha sekalipun dimana penindas mereka adalah sekelompok Muslim. Kita tentunya akan melihat begitu banyak masa udara diperuntukkan oleh agensi-agensi berita ini untuk membuat liputan mengenai ektremis-ekstremis Muslim, sesuatu yang tidak mereka lakukan dalam mendedahkan kekejaman ektremis-ekstremis Buddha di Myanmar.

Malaysia: Kepimpinan Melalui Teladan

Sebagai negara Islam terhampir, Malaysia telah menunjukkan teladan yang amat baik dalam menangani isu ini walaupun dalam masa yang sama tetap teguh berpegang dengan dasar tidak campur tangan dalam urusan negara ASEAN. Malah, Malaysia sentiasa konsisten dalam setiap usahanya memperjuangkan nasib umat Islam di serata dunia. Ia boleh dilihat dalam kesungguhan Malaysia menyokong perjuangan rakyat Palestin dan Syria selain turut menjadi fasilitator dalam rundingan damai di Selatan Filipina dan Selatan Thailand.

Menyedari isu Rohingya ini sememangnya tidak akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat, Malaysia melalui kepimpinan Perdana Menteri YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tidak hanya bercakap kosong dengan sekadar menyatakan kecaman terhadap krisis yang berlaku. Pelancaran Misi Kemanusiaan Untuk Rohingya oleh Najib pada hari ini mencerminkan betapa Malaysia sangat memandang berat isu ini yang tentunya berpotensi menggugat kestabilan serantau.

Misi ini akan diuruskan secara bersama oleh Kementerian Pertahanan dan kerajaan Bangladesh dalam memberikan bantuan secara terus kepada pelarian Rohingya yang kini berada di Chittagong. Misi ini juga menjadi satu manifestasi bantahan keras Malaysia ke atas penindasan terhadap etnik Rohingya. Tentunya tindakan Malaysia dalam hal ini tidak hanya berpaksikan atas keprihatinan terhadap nasib saudara seagama, tetapi lebih penting ianya dilakukan atas dasar kemanusiaan yang nilainya sedang dipijak-pijak di Rakhine.

Kita mengharapkan pertemuan Najib dengan Presiden AS Donald Trump pada awal minggu hadapan akan turut membincangkan isu ini secara serius. Sebagai sebuah negara yang selalu mempelopori idea-idea kesederhanaan, Malaysia sememangnya dilihat lebih dominan dan mampu menyumbang kepada solusi yang lebih baik dalam pelbagai krisis serantau.

Malah dengan pengaruh yang ada, kita juga yakin Malaysia akan membawa suara yang lebih lantang berkenaan krisis ini dalam pelbagai wahana lain samada di peringkat ASEAN mahupun di peringkat antarabangsa seperti di PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here