KEBIMBANGAN yang selama ini disuarakan banyak pihak di Pulau Pinang akhirnya menjadi kenyataan dan realiti untuk kesekian kalinya. Kejadian tanah runtuh di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah pagi semalam mencerminkan betapa keluhan dan aduan mereka selama ini tidak diambil dengan serius sehingga menyebabkan kemalangan dan kehilangan jiwa yang bukan sedikit.

Dalam kejadian malang di tapak pembinaan kediaman setinggi 50 tingkat itu, seramai 13 buruh asing dan seorang warga tempatan dikhuatiri tertimbus dalam kecerunan tanah yang dianggarkan sekitar 35 meter. Sehingga petang semalam, empat mangsa yang maut telah berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat.

Sudah Terhantuk, Baru Terngadah

Walaupun kerajaan Pulau Pinang menzahirkan kesedihan dan bercadang menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan negeri bagi menyiasat insiden malang tersebut, ia sama sekali tidak akan dapat memadam hakikat bahawa apa yang berlaku semalam adalah berpunca daripada kegagalan pihak berwajib untuk mendengar amaran dan kerisauan yang disuarakan selama ini.

Persatuan Penduduk Tanjung Bungah (TBRA) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) antaranya sudah beberapa kali menyuarakan keluhan dan permintaan mereka kepada kerajaan negeri agar menghentikan semua pembangunan melampau di lereng bukit memandangkan ianya mempunyai kesan domino terhadap banjir kilat di negeri itu akibat daripada hakisan dan mendapan tanah yang terhasil. Tahun ini sahaja menyaksikan Pulau Pinang dilanda banjir kilat tidak kurang dua kali dengan yang terbaru berlaku pada bulan yang lalu sehingga menyebabkan bandarayanya, Georgetown lumpuh.

Namun, amaran dan aduan yang dikemukakan secara berulang kali itu seolah-olah masuk di telinga kanan dan keluar di telinga kiri. Kerakusan dan ketamakan kerajaan negeri yang meluluskan pelbagai projek perumahan di lereng-lereng bukit tanpa menitikberatkan soal keselamatan dan pemeliharaan alam sekitar sangat mengecewakan. Bagi memenuhi permintaan dan menebalkan poket-poket pemaju, begitu banyak kawasan bukit dan tadahan yang digondolkan dengan sewenang-wenangnya dan keadaan ini boleh dilihat dengan jelas terutamanya di Sungai Ara dan Tanjung Bungah sendiri.

Keadaan ini bukan sahaja merosak dan mengundang bencana alam sekitar, malah ianya turut memberikan kesan yang amat buruk kepada kehidupan penduduk setempat. Buktinya, sejak projek-projek perumahan seumpama ini begitu ‘menggila’, kualiti alam sekitar di Pulau Pinang merosot dengan teruk berikutan pelaksanaan projek pembangunan yang dibuat tanpa perancangan teliti terhadap aspek berkenaan. Pemusnahan hutan di kawasan-kawasan bukit akhirnya membawa pelbagai masalah alam sekitar yang lain terutamanya ancaman pencemaran.

Mampu Milik atau Mampu Tengok?

Walaupun projek kediaman yang hendak didirikan di tapak kejadian semalam berstatus mampu milik, soalnya mengapa begitu banyak sekali projek-projek sebegitu dibuat di lereng-lereng bukit? Adakah keperluan terhadap projek-projek seperti ini begitu mendesak sehinggakan pembangunannya dilakukan tanpa henti?

Secara rasionalnya, projek-projek seumpama ini tidak akan memberikan manfaat yang jelas kepada penduduk Pulau Pinang jika pembangunannya terus menjadi motif dan matlamat pelaburan tanah dan aset kepada pembeli samada untuk jangka pendek mahupun sederhana. Projek mampu milik untuk sebahagian pembeli mungkin sahaja menjadi projek mampu tengok untuk sebahagian besar yang lain. Jika projek perumahan yang dibangunkan hanya menguntungkan kelompok-kelompok tertentu sehingga mengabaikan keperluan penduduk setempat, lebih baiklah projek itu tidak dibangunkan terus.

Kaburnya Agenda Hijau Negeri

Kerajaan negeri yang ada sekarang ini sudah pun memerintah selama hampir satu dekad, namun pentadbiran dan perancangan berkesan mengenai isu ini nampaknya masih lagi gagal dilaksanakan. Ianya kembali membangkitkan persoalan mengenai sejauh mana kerajaan negeri betul-betul serius dalam usahanya menjadi sebuah negeri hijau yang pertama di Malaysia?

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang juga merangkap Pengerusi Majlis Hijau Pulau Pinang sepatutnya lebih bertanggungjawab dalam isu projek pembangunan yang dilihat seolah-olah hampir tidak terkawal. Janganlah sampai visi kerajaan negeri iaitu ‘Bersih, Hijau, Sihat, Selamat dan Ceria’ dilihat hanya sebagai satu sandiwara bagi menutup ‘kerosakan’ alam di negeri tersebut.

Tentulah kita tidak mahu isu ini dipolitikkan memandangkan kebimbangan mengenainya telah lama disuarakan orang ramai yang datang daripada pelbagai segmen masyarakat. ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu umpamanya pernah bersama-sama dengan TBRA membantah projek pembangunan kondominium bertingkat tinggi sebelum ini. Malah, Naib Pengerusi DAP sendiri, Dr. Tan Seng Giaw juga pernah mengeluh mengenai perubahan dan kehijauan di Pulau Pinang yang semakin terhakis.

Kerajaan Negeri Perlu Bertanggungjawab

Kesedihan yang ditunjukkan kerajaan negeri mengenai insiden malang yang berlaku pagi semalam tentunya tidak boleh menyejukkan hati yang marah. Cadangan penubuhan suruhanjaya siasatan mengenainya juga tidak mampu mengembalikan nyawa yang telah melayang. Nasi sememangnya sudah pun menjadi bubur. Seikhlas mana pun permohonan maaf yang dibuat, kerajaan negeri pimpinan Guan Eng tetap perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya kerana merekalah yang meluluskan projek tersebut. Apa yang pasti, insiden semalam pastinya boleh dielakkan sekiranya kerajaan negeri mengambil serius amaran dan nasihat yang telah banyak diberikan pelbagai pihak di Pulau Pinang.

Sewajarnya, kerajaan negeri perlu segera mengawal projek-projek pembangunan yang ‘membinasakan’ ini terutamanya projek-projek pembangunan berkepadatan tinggi. Penduduk tidaklah membantah sepenuhnya pembangunan yang dilaksanakan. Tetapi ianya hendaklah dilaksanakan secara lebih rasional dengan mengambil kira faktor keperluan penduduk dan kepentingan alam sekitar dalam masa yang sama, apatah lagi Malaysia sudah pun menandatangani perjanjian antarabangsa dalam usaha pemeliharaan alam sekitar dan mengekalkan kehijauan bumi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here