Penasihat  Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa, mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding merebut jawatan presiden biarpun namanya masih dicalonkan oleh persatuan bolasepak jajahan (PBJ).

Annuar, dalam status terbaharu laman Facebooknya, menegaskan keputusan itu dibuat kerana tidak mahu mengecewakan ‘pencinta’ bola sepak Kelantan yang mahukan tokoh lain memimpin persatuan itu.

“Difahamkan, nama saya masih dicalonkan untuk presiden KAFA dan ada beberapa nama lain. Usah kecewakan ‘pencinta’ bola Kelantan yang sudah lama berjuang untuk saya tidak memimpin KAFA.

“Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai yang lain boleh buat lebih baik daripada saya. 10 tahun sudah cukup lama. Dalam 10 tahun, saya lalui suka-duka dan masak dengan pelbagai masalah bola sepak,” katanya.

Annuar juga mengingatkan kisah perjuangannya untuk menjadikan The Red Warriors (TRW) sebagai sebuah pasukan yang hebat biarpun akhirnya terpaksa menerima akibat digantung perkhidmatan dalam Majlis Amanah Rakyat (MARA).

“Tahun ini, saya tidak pegang apa-apa jawatan tetapi secara sukarela usahakan hampir RM8 juta melalui syarikat rangkaian saya.

“Saya digantung dalam MARA kerana bola Kelantan. Yang akhirnya, saya memilih untuk berhenti daripada MARA susulan beberapa peristiwa dalam MARA. Semua saya reda demi TRW yang saya lahirkan dan saya kendong,” katanya.

Annuar juga mengucapkan selamat bertanding kepada pemimpin baharu yang bakal menduduki kerusi nombor satu KAFA dan berharap mereka mampu membawa kejayaan lebih baik tanpa kehadirannya.

“Kini biarlah KAFA tanpa saya. Saya percaya, sepertimana juga suara sebahagian mereka yang menulis di Facebook dan WhatsApp masing-masing, KAFA dan bola sepak Kelantan akan bertambah baik dan kuat dengan tokoh-tokoh baharu.

“Selamat memilih staf pimpinan KAFA yang baru,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Md Noor, mengesahkan perebutan kerusi panas itu akan melibatkan lima calon selepas tempoh pencalonan berakhir, semalam.

Selain Annuar, dua naib presiden sekarang, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Datuk Rosmadi Ismail turut tercalon. Begitu juga dengan tokoh perniagaan, Datuk Ir Shaari Hassan serta Bibi Ramjani IIias Khan.

— Stadium Astro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here