Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe masih belum memberi bayangan calon orang kanan dan barisan kejurulatihannya dalam misi memartabatkan kembali skuad kebangsaan walaupun sudah diberikan mandat oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, kelmarin.

Baginya, masih terlalu awal untuk mendedahkan mengenai calon berkenaan dan memerlukan sedikit masa.

“Buat masa ini tak ada nama lagi yang boleh saya dedahkan dan kalau boleh saya tak nak komen dahulu sebab masih terlalu awal.

“Dalam sehari dua ini saya akan adakan perjumpaan dengan Setiausaha Agung FAM, mungkin selepas itu baru kita boleh tengok macam mana,” katanya.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan dan pengendali Kedah itu tidak berahsia terhadap kriteria calon pembantu yang diingininya.

“Saya tak kisah sama ada pembantu saya itu dari Malaysia atau luar negara.

“Tetapi saya mahukan dia memahami landskap bola sepak Malaysia dan boleh bekerjasama dengan saya.

“Yang paling penting, pembantu itu juga harus mempunyai kebolehan dalam melakukan tugas scouting (pemilihan pemain) dengan baik,” katanya.

Dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) kali ke-3 kelmarin, Tunku Ismail berkata, FAM telah memberi kebebasan sepenuhnya kepada Cheng Hoe untuk mengisi kekosongan jawatan pembantu jurulatih dan staf kejurulatihannya sendiri.

— Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here