SEMUA lapisan masyarakat tidak pernah lari dengan pelbagai masalah. Hal ini turut terjadi kepada pasangan dramatis terkenal, Zamarul Hisham dan Diana Rafar yang sah bercerai talak satu meskipun sepanjang lima tahun bernikah. Industri hiburan kecoh seketika apabila pasangan , tiada berita kurang enak didengar tentang kebahagiaan mereka telah retak rumah tangganya.

Namun jodoh pertemuan itu di tangan tuhan apabila empat bulan berpisah, mereka berdua kembali rujuk sekali gus membuktikan kasih sayang selama sembilan tahun bercinta masih lagi kuat.

Baru-baru ini, pemilik nama sebenar Adiana Abdul Rafar, 33, hadir di pembukaan butik fesyen Dokoh di Bangi Sentral, Selangor dan bertanya khabar terkininya setelah menggalas semula tanggungjawab sebagai seorang isteri.

Sejak kembali rujuk dengan Zamarul Mei lalu, apakah perubahan yang Diana alami dalam rumah tangga sekarang?

DIANA: Banyak sebenarnya yang telah berubah kerana saya sudah merasai situasi bersuami, bercerai dan Alhamdulillah bersuami semula. Saya banyak muhasabah diri selepas rujuk semula. Selain lebih banyak bersabar dan menerima baik dan buruk Zamarul, saya kini sedar bahawa kunci untuk melayari rumah tangga yang bahagia terletak pada diri sendiri, bukan pada pasangan. Jika masing-masing saling menerima, setakat bergaduh hal remeh temeh itu bukan satu alasan bermasam muka.

Sewaktu dalam tempoh masa sebelum nekad kembali menjadi isteri Zamarul, apakah yang anda fikirkan?

Sebenarnya, ketika sedang dilema sama ada untuk rujuk atau tidak dengan Zamarul, ada seorang komposer datang menemui saya dan menawarkan sebuah lagu untuk dinyanyikan. Pada mulanya saya tidak berminat kerana fikiran tengah kusut memikirkan hal perceraian tetapi apabila mendengar lagu itu, saya dapat mengaitkan situasi kami pada masa itu dengan lagu. Secara ringkasnya, boleh dikatakan lagu ini mendorong saya untuk kembali bersama Zamarul.

Boleh anda jelaskan dengan lebih terperinci tentang lagu itu?

Tajuk lagu itu ialah Tak Termampu dan dicipta oleh komposer bernama Badrul. Ketika mula-mula mendengar lagu itu, hati saya tersentuh kerana liriknya seolah-olah menceritakan keadaan saya selepas bercerai. Malah selepas mendengar lagu itu juga, hati saya kuat mengatakan ingin dan perlu rujuk semula dengan Zamarul.

Bagaimanakan pula dengan Zamarul? Adakah dia turut mendengar lagu itu?

Disebabkan lagu itu, untuk pertama kalinya sepanjang 14 tahun berkenalan, dia beria untuk mengikut saya ke studio untuk sesi rakaman. Malah ketika mendengar saya menyanyi lagu itu, Zamarul tidak dapat menahan sebak kerana lirik serta melodi yang dihasilkan begitu rapat dengan kejadian yang menimpa kami. Insya-Allah lagu itu akan diperdengarkan kepada peminat tidak lama lagi.

Anak anda, Kashfi Haikal sudah berusia lima tahun. Tiada niat untuk menambah cahaya mata?

Sesungguhnya saya teringin menimang anak kedua cuma belum ada rezeki. Jika direnungkan, mungkin ini ujian kerana dahulu saya sering merancang dan bila bercakap tentang anak, saya kalau boleh mahu ia ditangguhkan dahulu. Sekarang, apabila hati ini benar-benar mahukan kehadiran bayi lagi, peluang itu tidak datang. Namun saya dan Zamarul tetap bersabar dan yakin, jika ditakdirkan rezeki kami, pasti ada. Doakanlah kami.

Bagaimana dengan perkembangan terkini?

Saya sekarang lebih fokus untuk menguruskan spa De Lugano Spa di Shah Alam, Selangor dan sekali sekala mengambil tawaran untuk menjadi wajah kepada sesetengah produk seperti tudung dan pakaian muslimah. Alhamdulillah kerana setakat ini rezeki saya tidak putus walaupun sudah tidak aktif dalam dunia seni.

Sumber: Kosmo

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here