DALAM pemukiman pemimpin Pakatan Harapan (PH) di Putrajaya hujung minggu lalu, tiga daripada empat parti komponen gabungan itu telah mencadangkan bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden PKR Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, masing-masing sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri sekiranya pakatan tersebut berjaya menerajui kerajaan pasca pilihan raya umum (PRU) kelak.

DAP, AMANAH dan PPBM dikatakan telah bersetuju mengenai cadangan itu dan kini menantikan reaksi dan kata putus daripada PKR yang perlu merujuk cadangan tersebut kepada Biro Politiknya terlebih dahulu. Apa pun, keputusan menamakan Mahathir sebagai bakal perdana menteri tentu datang dengan strategi dan ‘helah’ politik PH. Mana tidaknya, PPBM baru sahaja setahun lebih ditubuhkan dan parti itu sendiri tidak stabil dengan pelbagai masalah dan isu dalaman. Maka tindakan menamakan pengerusinya bagi menerajui gabungan yang sudah lama dibentuk DAP dan PKR tentu tidak datang begitu sahaja.

Mahathir ‘Digunakan’ Untuk Tarik Undi Melayu

Mahathir sinonim sebagai seorang pemimpin ultra Melayu sepanjang pemerintahannya selama 22 tahun sebelum ini. Malah, dibawah pemerintahannya, kita melihat pelbagai kecaman yang dikeluarkan terhadap pemimpin-pemimpin kaum lain khususnya terhadap Lim Kit Siang dan DAP. Penahanan ramai figura politik dalam Operasi Lalang pada 1989 – yang dikatakan sebagai satu langkah menangani ketegangan kaum – merupakan satu manifestasi betapa Mahathir pada ketika itu ‘paling Melayu dalam Melayu’.

Justeru, mencadangkan beliau selaku bakal perdana menteri adalah langkah strategik PH bagi menangani tanggapan bahawa pakatan itu kini sedang diresapi hebat pengaruh DAP yang secara terang mahupun tersembunyi bukan sahaja dilihat jelas menghakis kuasa politik Melayu, malah ia menggugat pula nilai dan institusi Islam di Malaysia. Pada mulanya, sesetengah pihak mungkin sahaja hairan mengapa DAP yang dahulunya begitu anti-Mahathir, pada hari ini boleh pula dengan mudah merestui penamaan beliau sebagai peneraju kerajaan PH kelak?

PH Ketandusan Pemimpin?

Menjawab persoalan tersebut tidaklah sukar. DAP sedar bahawa PH kini tidak mempunyai mana-mana calon Melayu yang dominan dan menyerlah seperti Anwar. Hendak mengharapkan Presiden AMANAH Mohamad Sabu, pilihan seperti itu umpama menempah kekalahan awal. Mohamad tidak mempunyai kredibiliti dan karisma, apatah lagi keterampilan dan pengaruh seperti Anwar. Jika hendak diharapkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali pula, itu mungkin antara pilihan terbaik yang ada dalam kem PKR buat masa ini. Tetapi pengaruh Azmin nampaknya hanya ‘berlegar’ di sekitar Selangor.

Jadi, bagi menunjukkan bahawa orang Melayu ‘selamat’ bersama PH, maka Mahathir diangkat dan ‘digunakan’ bagi membuktikan bahawa kuasa politik Melayu akan tetap mendominasi pakatan tersebut setelah membentuk kerajaan kelak. Ironi juga, tatkala Mahathir dan pemimpin Melayu PH yang lain merasakan bahawa mereka mampu mengawal pengaruh DAP, secara tidak langsung mereka pula yang sebenarnya ‘digunakan’ dalam tujuan DAP memperkukuhkan cengkaman politik ke atas politik negara. Mahathir sendiri sedar, tanpa restu Anwar dan Kit Siang, pengaruhnya dalam pakatan pembangkang tidak akan ke mana.

”Partnership” Mahathir-Wan Azizah Lemah

Dari satu perspektif yang lain, pemilihan Mahathir sebagai calon perdana menteri bayangan PH hanya memperlihatkan betapa pakatan itu seolah-olah kekurangan pemimpin yang berwibawa. Usia Mahathir kini sudah hampir menjengah satu abad. Pemilihannya oleh pakatan itu pula dilihat sebagai satu-satunya pilihan yang ada bagi menerajui kem pembangkang tersebut. Mungkin ada baiknya jika PH turut menimbang pilihan-pilihan yang lain biarpun kurang popular berbanding Mahathir. Apatah lagi apabila meletakkan Wan Azizah sebagai calon timbalannya, “partnership” itu dilihat sangat lemah. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Azmin sendiri lebih popular dan berkarisma berbanding Wan Azizah.

Calon Perdana Menteri Yang Bermasalah

Lebih-lebih lagi apabila nama Mahathir sendiri sudah terpalit dengan isu kerugian urus niaga mata wang asing atau forex seperti yang didedahkan oleh laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) minggu lalu. Itu hanyalah salah satu daripada episod yang telah mencalarkan imej kepimpinan beliau sebelum ini. Belum lagi kita bercakap tentang skandal PERWAJA dan MAS yang turut ‘mewarnai’ pemerintahannya selama lebih dua dekad. PH benar-benar tampak seperti tiada pilihan selain menamakan seorang pemimpin yang terbukti bermasalah dalam usaha mereka menarik undi Melayu yang akan menjadi kuasa pemutus pada PRU kelak.

Ini memberi maksud bahawa, dalam keghairahan PH ‘menyerang’ UMNO dan BN ekoran kitaran muka pemimpin yang sama, PH juga nampaknya tidak begitu berbeza. Mereka sendiri begitu ketandusan pemimpin yang berkaliber dan berwibawa. Lebih teruk, PH buat ketika ini nampaknya tidak pun mempunyai alternatif segera kepada Mahathir, berbanding UMNO yang pada ketika ini mempunyai ramai pelapis bukan sahaja di peringkat pusat, bahkan di pelbagai peringkat kepimpinan parti yang lain. Benar, mengambil kira faktor yang wujud dalam arena politik tanahair, kepimpinan Najib juga berhadapan dengan beberapa isu yang dibangkitkan rakyat. Namun, secara umumnya tidak ramai yang melihat Mahathir sebagai ‘pilihan’ yang lebih baik buat masa ini, apatah lagi batang tubuhnya sendiri sudah terpalit dengan pelbagai isu yang belum selesai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here