pru14

Hindraf perlu menukar strategi dengan menjalinkan kerjasama dengan Pas sekiranya mahu menumbangkan BN pada PRU14.

Ketua Penerangan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) Pusat, Dr B Chandran berkata, walaupun tindakan itu mungkin menarik pengundi India yang tidak berpuas hati dengan MIC untuk beralih kepada Pakatan Harapan, namun ia hanya melibatkan peratusan kecil.

Menurutnya, tindakan Hindraf menyertai Pakatan Harapan tidak akan memberi ancaman atau kelebihan kepada mana-mana pihak walaupun Pakatan Harapan mempunyai sokongan 70 hingga 80 peratus pengundi bukan Melayu.

Realitinya beliau berkata, perkembangan politik dipengaruhi undi Melayu yang kini dipegang Pas dan Umno.

“Melayu yang menentukan perubahan. Kita sebagai bukan Melayu hanya tergantung kepada apa-apa keputusan daripada perubahan Melayu. Jadi, walaupun Pakatan Harapan mendapat undi orang bukan Islam tetapi tidak boleh menang sebab undi orang Melayu dibahagi antara Umno dan Pas. Majoriti (sokong Umno dan Pas).

“Bagi saya, saya lebih mengesyorkan (Hindraf bersama) Pas dalam politik matang dan sejahtera sebab Pas bawa 60 peratus orang Melayu dan orang India (dalam Hindraf) boleh ikut kita. Kita ada peluang menang lebih cerah,” katanya.

Hindraf sebelum ini mengesahkan sedang melakukan rundingan dengan Pakatan Harapan untuk memastikan pakatan itu memenangi PRU akan datang.

B Chandran yang juga Pengerusi DHPP Terengganu berkata, Hindraf berhak memilih mana-mana parti politik namun mendakwa Hindraf tidak mampu melakukan perubahan jika menyertai Pakatan Harapan.

Tegasnya, Hindraf perlu menukar strategi jika berhasrat memastikan perubahan politik dalam negara sambil memberitahu bahawa di pihak Pas khususnya, parti itu ada peluang menang di kawasan Melayu.

“Kalau dia nak Pakatan Harapan, itu hak dia tetapi untuk menang dia kena tengok strategi yang lain kerana yang menangkan kita majoriti orang Melayu antara Umno dan Pas,” katanya.-Sinar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here