syed saddiq

Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq mendakwa Pejabat Perdana Menteri sengaja menafikan kewujudan individu yang dipercayai dalang rangkaian sistematik dedak.

Syed Saddiq berkata, pihak terbabit sememangnya mengetahui individu itu ada kaitan dengan jabatan berkenaan.

“Mereka penipu. Saya yakin mereka memang sengaja menggunakan cara teknikal untuk menafikan individu tersebut mempunyai kaitan dengan Pejabat Perdana Menteri,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Syed Saddiq dalam sidang medianyaIsnin lalu mendakwa ditawarkan RM5 juta daripada ‘penasihat kanan perdana menteri’ untuk meninggalkan parti dan menyambung pelajarannya ke luar negara.

Menurutnya, umpan wang tunai ditawarkan oleh ‘rangkaian sistematik dedak’ yang dirancang penasihat kanan itu termasuk geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh negara.

Mengulas lanjut mengenainya  Syed Saddiq berkata  alasan teknikal digunakan sama seperti dalam isu 1Malaysian Development Berhad (1MDB).

“1MDB dan Pejabat Perdana Menteri menafikan bahawa Jho Low tiada kena mengena dengan 1MDB, alasan sama mereka gunakan dalam menafikan individu ‘H’ ini,” katanya.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata, beliau akan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendapat nasihat lanjut daripada polis.

“Tak banyak yang saya boleh komen sekarang. Sama ada saya akan laporkan kepada SPRM atau tidak, ia bergantung kepada nasihat polis,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here