Syed Saddiq

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) terus menimbulkan keributan politik apabila baru-baru ini mengadakan sidang akhbar khas. Ramai pemerhati politik dan media tertanya-tanya apakah pengumuman penting yang mahu dibuat oleh insan bernama Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ini. Satu sidang akhbar biasanya diadakan untuk mengumumkan hal-hal penting yang memerlukan perhatian seluruh negara. Mengambil kira kekalutan yang sedang berlaku dalam BERSATU, maka seluruh mata tertumpu pada Syed Saddiq.

Namun selepas selesai sidang akhbar berkenaan, tiada sebarang hal penting dibuat Syed Saddiq, melainkan pengumuman beliau untuk tidak melanjutkan pelajaran ke Universiti Oxford di United Kingdom, tetapi sebaliknya kekal untuk berjuang di dalam BERSATU demi kepentingan rakyat Malaysia. Lihat bagaimana BERSATU berjaya membentuk Syed Saddiq menjadi seorang ahli politik tipikal yang gemar membesar-besarkan hal yang kecil.

Jika sekadar membuat pengumuman tentang hasrat tidak mahu menyambung pengajian, tetapi memilih jalan politik, tiada sebarang sidang media diperlukan, cukup sekadar Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan di laman sosial beliau dan sudah tentu kenyataan berkenaan akan dipetik media sebagai kenyataan rasmi. Pengumuman Syed Saddiq itu bukan sahaja tidak memberikan apa-apa kesan kepada landskap politik negara, tetapi hanya membuang masa pihak media yang menunggu.

Bagi memastikan beliau tidak malu keseorangan, Syed Saddiq pun menambah rencah dengan mendakwa beliau telah ditawarkan wang berjumlah RM5 juta untuk meninggalkan BERSATU dan akan diberikan peruntukan untuk membuka sekolah debat jika beliau berjaya memusnahkan parti pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad itu. Namun hakikatnya, BERSATU tidak memerlukan RM5 juta untuk dimusnahkan kerana parti itu kini sedang musnah secara sendiri perlahan-lahan. Lihat apa yang berlaku di peringkat akar umbi parti berkenaan dan masa depan parti ini juga sukar untuk dipastikan kecerahannya.

Jika benar berlaku tindakan sogokan seperti didakwa, Syed Saddiq tidak perlu membuat sidang akhbar, kerana pesalah bukan dihakimi oleh media, tetapi beliau sewajarnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan membenarkan badan bebas itu menyiasat dakwaan beliau. Namun Syed Saddiq tidak mengambil tindakan segera, tetapi melengah-lengahkannya dan menggunakan saluran yang tidak bersesuaian untuk memastikan pesalah diambil tindakan.

Hari ini Syed Saddiq membuka mulut dan memaklumkan akan membuat laporan kepada SPRM berhubung sogokan berkenaan dan beliau juga cuba bermain kata dengan mendakwa seseorang bernama ‘H’ yang dikatakan rapat dengan YAB Perdana Menteri mendalangi segala-gala usaha menyogok beliau untuk keluar dari BERSATU dan menghancurkan parti berkenaan. Apakah Syed Saddiq sedang berdrama sekarang dan hanya bermain wayang untuk mengelirukan rakyat? Hanya beliau dan orang-orang yang rapat dengan beliau sahaja yang memahami hakikat ini.

Sebagai seorang anak muda yang berwawasan dan memiliki kredibiliti sebagai salah seorang pendebat terbaik dunia, beliau tidak sewajarnya membiarkan dirinya bermain politik cara lama, tetapi beliau wajar membentuk gaya politik baru yang memberikan kesegaran kepada landskap politik negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here