Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia bertemu bekas  Naib Presiden Bersatu, Datuk Hamidah Osman bagi menyelesaikan ‘pertelingkahan’ antara mereka.

Menurut Syed Saddiq, ia adalah jalan terbaik bagi memulihkan hubungan silaturahim antara mereka berdua.

“Saya akui ‘pertelingkahan’ ini hanyalah salah faham. Kerana itu saya saya bersedia bertemu Hamidah. Ini cara terbaik untuk menyelesaikan isu ini. Ia bukan sahaja isu parti, tetapi silaturahim yang begitu baik sejak tertubuhnya Bersatu.

“Jika ada tindakan lain, saya tetap menghormati  keputusan Hamidah seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Insya-ALLAH, kita boleh bergerak ke hadapan dan tumpukan kepada isu yang lebih mustahak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertemuannya dengan adik Hamidah, Hamizura Osman, semalam.

Pada sidang media itu turut hadir, Ahli Jawatankuasa Wanita PKR, Syarul Ema Rena Abu Samah, atau lebih dikenali dengan nama ‘Ratu Naga’ di media sosial, hadir sebagai orang tengah.

Hamidah meletakkan jawatan pada 16 September lalu selepas dituduh menjadi dalang kepada desakan dalaman parti agar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Syed Saddiq sebelum ini menuduhnya sebagai ejen Umno. Beliau juga mendakwa wujudnya konspirasi untuk mengancam dan menyogok dirinya dan pemimpin Bersatu yang lain termasuk Hamidah, untuk melemahkan parti itu.

Sementara itu, menurut Hamizura, Syed Saddiq tidak mendapat maklumat tepat kerana tiadanya komunikasi antara mereka.

“Saya rasa Syed Saddiq hanya mendengar cerita dari satu pihak, dan tidak pernah cuba mendapatkan cerita daripada pihak satu lagi,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here