Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menafikan beliau menghadiri demonstrasi anjuran Pemuda Umno dan PAS di luar kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur semalam kerana mahu mencari populariti.

Syed Saddiq berkata beliau hadir untuk bersama rakyat Malaysia bagi menyatakan sokongan terhadap isu Palestin.

“Saya difahamkan perhimpunan ini bagi menyatakan solidariti kita semua bersama sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira parti politik ataupun kaum.

“Biarlah siapa pun yang nak mengambil kredit di atas penganjuran program ini akan tetapi niat saya hanya ingin bersolidariti bersama-sama rakyat Malaysia di atas isu Palestin,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos menuduh Syed Saddiq menumpang himpunan bagi membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Jamal mendakwa BERSATU sepatutnya menganjurkan demonstrasi sendiri dan tidak sepatutnya menumpang parti lain demi meraih populariti.

Dalam pada itu Syed Saddiq berkata beliau hari ini turut bertemu empat mata dengan Duta Amerika Syarikat bagi memberikan pandangan berkenaan isu itu.

Sehubungan itu beliau menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira parti politik agar bersatu dalam isu Palestin.

“Ketepikan perbezaan agama, perbezaan bangsa mahupun negara. Letakkan isu kemanusiaan keutamaan kita. Bersatu untuk Palestin,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here