Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mungkin akan bertanding di Johor.

Mengesahkan hal itu sendiri, Syed Saddiq berkata, hal itu bergantung kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diputuskan kelak.

“Persoalan tentang saya bertanding di mana-mana kerusi adalah sangat sukar untuk dijawab memandangkan saya perlu melanjutkan pelajaran di Universiti Oxford di United Kingdom pada September nanti.

“Namun sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan membubarkan Parlimen sebelum saya melanjutkan pelajaran, saya mungkin akan bertanding di Johor,”katanya menerusi slot rancangan ‘The Breakfast Grille’ yang bersiaran ke udara menerusi radio BFM.

Sebelum ini, sebuah akhbar Cina melaporkan Syed Saddiq akan dipilih bertanding di Johor.

Selain beliau, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut didakwa dipilih bertanding di negeri itu bersama Muhyiddin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden Amanah dan Salahuddin Ayub.

Bagaimanapun Syed Saddiq ketika mengulas mengenai isu sama tidak mendedahkan kerusi yang mungkin ditandingi pada PRU akan datang.

“Apa yang pasti, sekiranya Najib mengumumkan bubar Parlimen sebelum September depan, saya mungkin tidak akan melanjutkan pelajaran,” katanya lagi.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here