TIGA syarat PKR sebelum ia bersetuju menerima Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri sementara bagi Pakatan Harapan (PH), membayangkan keraguan parti itu terhadap rakan parti komponennya ketika gabungan pembangkang itu sepatutnya lebih memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kerjasama menghadapi pilihan raya, kata penganalisis politik.

Profesor Madya di Jabatan Sosiobudaya di Universiti Malaya, Dr Awang Azman Awang Pawi berkata PH sepatutnya merapatkan lagi hubungan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan syarat PKR ini tidak menjadi “titik pemisah” kerjasama gabungan pembangkang itu.

Menurut Awang Azman, urutan tiga syarat itu membayangkan kebimbangan PKR terhadap pengaruh rakannya Bersatu dan Dr Mahathir dalam gabungan PH.

“Seolah-olah sudah ada prasangka yang Bersatu akan dapat lebih kerusi melalui lompatan Umno (selepas PRU14) dan kebimbangan karisma Dr Mahathir akan membuat kelekaan dan memperlambatkan proses membebaskan Anwar.

“Keutamaan dalam syarat dapat memancarkan keraguan, harapan dan cita-cita PKR,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Semalam, sumber memberitahu The Malaysian Insight, PKR sudah setuju Dr Mahathir jadi perdana menteri sementara kalau PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tetapi dengan tiga syarat.

Tiga syarat itu ialah sebaik saja jadi kerajaan di Putrajaya, Dr Mahathir hendaklah mengusahakan Anwar Ibrahim dibebaskan segera dari penjara dan membuka jalan untuk beliau dilantik perdana menteri dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan.

Syarat kedua pula ialah, PKR perlu diberikan kerusi Parlimen terbanyak berbanding parti lain dalam PH iaitu sebanyak 60 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia.

“Syarat ketiga ialah, Dr Mahathir perlu bersetuju untuk melakukan reformasi kepada institusi-institusi penting di negara ini.” kata sumber yang menghadiri mesyuarat itu dengan syarat tidak dinamakan.

Menurut Awang Azman, reformasi institusi penting negara jauh lebih mustahak buat rakyat berbanding syarat lain yang diletakkan PKR untuk menerima Dr Mahathir menjadi calon perdana menteri sementara.

“Syarat ketiga PKR lebih penting daripada syarat pertama dan kedua. Perubahan dan transformasi institusi-institusi lebih penting daripada meminta kerusi lebih,” katanya.

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dalam wawancara bersama The Malaysian Insight membangkitkan keperluan PH untuk mengumumkan calon PM kerana rakyat mahu tahu siapa yang akan mengetuai kerajaan sekiranya gabungan pembangkang itu menang.

“Tidak ada pelan B, (yang ada) pelan A satu saja iaitu mesti umum (calon perdana menteri) dan mesti diumumkan sebelum pilihan raya,” katanya dalam satu pertemuan di pejabatnya di Kuala Lumpur, semalam.

Dalam pada itu, Awang Azman bertanya sekiranya PKR boleh meletakkan syarat sebelum dapat menerima keputusan PH, apakah rakan komponen dalam gabungan politik itu tidak boleh juga berbuat begitu.

“Kalau semua bersyarat apakah ini politik kahwin paksa atau politik untuk membaiki dan membina negara bangsa idaman sepatutnya diutamakan,” katanya. – The Malaysian Insight

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here