Syafeek Ikhwan, 27, yang bekerja sebagai jurutera di syarikat telekomunikasi tempatan tidak bermaksud jiwa dan raganya terarah sepenuhnya dalam bidang kejuruteraan. Bagi pendatang baru dalam bidang nyanyian, duit bukanlah segalanya. Paling penting adalah minat.

Dua tahun berkhidmat di syarikat terbabit, Syafeek berasakan tempatnya bukan di situ meskipun menghabiskan masa selama empat tahun di Universiti De Nice, Perancis.

Ternyata minatnya terhadap bidang nyanyian tidak pernah padam. Penyertaannya menerusi program realiti Juara Pujaan 2015 terbitan TV1 membuahkan hasil. Walaupun sekadar meraih gelaran Finalis Paling Popular, Syafeek atau nama sebenarnya Muhammad Syafiq Ikhwan Ghazali optimis dan yakin dengan bakat dimiliki.

“Habis belajar saya terus jadi jurutera, tapi entah kenapa saya tak dapat kepuasan dan sebab itu mencari peluang dengan menyertai mana-mana pertandingan nyanyian.

“Apabila sering menjadi juara, saya jadi seronok. Baru saya sedar itulah kepuasan yang saya cari selama ini. Atas dorongan dan gerak hati, saya berhenti kerja dan fokus pada bidang nyanyian,” katanya.

Syafeek yang juga naib juara pertandingan Bintang Idola BH 2014 mengakui tidak pernah menyesal meninggalkan pekerjaan yang dianggap lebih menjamin masa depannya.

“Soal gaji dan masa depan diakui pekerjaan lama lebih banyak kelebihannya, tetapi setiap orang pasti inginkan kepuasan dan keseronokan dalam pekerjaan mereka.

Berhenti kerja sebagai jurutera, saya kini bekerja dalam bidang lain dan ia lebih menyeronokkan. Kiranya, buat masa sekarang saya buat dua benda dalam satu masa.

“Cuma, disebabkan masih baru dalam industri, saya perlu ada ‘backup’ lain bagi menampung pendapatan,” katanya.

Kata Syafeek, selagi mampu melakukan dua pekerjaan itu serentak, dia akan teruskan. Bagaimanapun, segalanya bergantung kepada nasib dan rezeki dalam bidang nyanyian.

Buat masa sekarang saya OK dan tak ada masalah nak bekerja serta menyanyi. Jika satu nanti nanti rezeki berpihak dalam bidang nyayian, saya tak teragak-agak berhenti kerja,” katanya.

Dalam proses menghasilkan single pertama, Syafeek kini gembira apabila bakatnya mula mendapat perhatian ramai.

Saya lebih yakin dengan bakat dimiliki meskipun perlu bersaing dengan bintang program realiti popular. Saya tak mahu bercakap besar yakin boleh diterima, tetapi setakat ini banyak pihak mula nampak dan menghargai bakat saya setiap kali selesai membuat persembahan.

“Alhamdulillah, maklum balas diberikan sangat baik. Boleh dikatakan setiap hujung minggu saya mendapat tawaran nyanyian.

Menurut Syafeek, syarikat rakaman CQ Music dari Sarawak sudah bersetuju menjadi pengedar bagi single pertamanya nanti yang dijangka berada di pasaran menjelang bulan depan.

“Setakat ini sudah ada beberapa lagu daripada beberapa komposer seperti Dj Fuzz, Awi Rafel dan AG Coco. Pada masa sama, saya juga mendengar beberapa lagu daripada komposer baru,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here