Permintaan yang semakin meningkat terhadap ken­deraan utiliti sukan (SUV) dan pikap bersaiz besar, mendorong syarikat pengeluar kenderaan utama Amerika Syarikat (AS), General Motors Co. (GM) untuk menambah pengeluaran model kenderaan terbabit dianggarkan antara 48,000 hingga 60,000 buah pada tahun depan.

Dalam usaha memenuhi permintaan terbabit, pekerja-pekerja GM di Arlington, Texas, dilaporkan telah mula bekerja lebih masa (over time) bermula 1 Ogos lalu.

Menurut sumber, selain SUV, syarikat itu juga mahu menggandakan pengeluaran kenderaan pikap dan trak.

Difahamkan, kilang di Arlington berkeupayaan mengeluarkan kira-kira 400 buah SUV bersaiz besar dalam sekali shif, atau kira-kira 1,200 buah pengeluaran sehari.

Justeru, ditambah hari bekerja, kilang berkenaan mampu mengeluarkan kira-kira 60,000 buah kenderaan dalam setahun, namun mungkin juga kurang daripada itu mengambil kira masalah penyelenggaraan atau kurang peralatan.

GM bagaimanapun tidak men­dedahkan margin keuntungan ke atas sesebuah kenderaan, namun penganalisis dan eksekutif syarikat itu berkata, SUV dan pikap bersaiz besar berupaya melonjakkan keuntungan syarikat, mele­bihi kadar purata bagi operasi GM di Amerika Utara sebanyak 10.5 peratus pada suku kedua tahun ini.

“Jualan industri melebihi jangkaan. Jualan SUV bersaiz besar kami sangat kukuh dan kami sedang mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan pengeluaran bagi meme­nuhi permintaan selain membina semula inventori,” kata jurucakap GM, James Cain.

Cain bagaimanapun tidak me­nyatakan jumlah pengeluaran tahunan SUV dan trak bersaiz besar yang dikeluarkan oleh GM.

Bagaimanapun, seorang pegawai syarikat itu memberitahu, syarikat menyasarkan untuk menambah sehingga 60,000 buah ken­deraan.

Menurut maklumat yang dikumpulkan oleh Automotive News, GM mendominasi pasaran kenderaan SUV mewah bersaiz besar yang mampu menjimatkan penggunaan bahan bakar yang kini di bawah AS$3 (RM12.24) seliter di kebanyakan negeri di AS.

Penganalisis menjangkakan, ken­­deraan GM model Chevrolet Suburban, Tahoe dan Yukon dikecu­alikan cukai sebanyak AS$10,000 (RM40,805) sebuah.

Model Cadillac Escaled yang dikeluarkan di kilang Arlington me­rupakan antara SUV mewah bersaiz besar paling laris di pa­saran, menguasai kira-kira 30 peratus pasaran segmen itu di AS. Kenderaan yang dihasilkan di kilang itu menjana kira-kira AS$3 bilion (RM12.24 bilion) atau lebih keuntungan setahun kepada syarikat, atau hampir separuh daripada AS$6.5 bi­lion (RM26.52 bi­lion) keuntungan operasi GM tahun lalu, kata penganalisis.

Bulan lalu, pengeluar kende­raan nombor satu AS itu menyatakan ia akan melabur sebanyak AS$1.4 bi­lion (RM5.713bilion) untuk memo­denkan kilangnya di Arlington, jumlah terbesar pernah dilaburkan dalam satu-satu masa.

Tahun lalu, Arlington mengeluarkan 286,000 kenderaan SUV bersaiz besar. Sepanjang tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, penge­luaran di kilang Arlington mening­kat sebanyak 26 peratus. – UTUSAN

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here