BANGKOK, THAILAND – Semalam pihak Polis Thailand telah berjaya menangkap suspek kedua yang dikaitkan dengan pengeboman di Bangkok. Tangkapan ini dilakukan kurang 24 jam selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap dua suspek.

Perdana Menteri, Prayuth Chan-ocha berkata, suspek lelaki yang juga rakyat asing itu ditahan di wilayah Sa Kaeo, yang bersempadan dengan Kemboja.

“Dia telah dibawa ke Bangkok untuk soal siasat,” katanya.

Televisyen tempatan turut memaparkan imej suspek bertubuh kurus bertopi, bercermin mata hitam, dan bermisai.

Bangkok Post melaporkan, lelaki itu memiliki pasport China dengan nama Yusufu Mieraili, 25, dari wilayah Xinjiang, namun identitinya masih belum disahkan.

Prayuth berkata, lelaki itu mirip suspek berbaju kuning yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

Polis semalam mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang wanita rakyat tempatan dan lelaki asing.

Wanita itu yang bernama Wanna Suansan, 26, dalam panggilan te­lefon kepada AFP menyatakan dia kini tinggal di Turki dan pernah mengunjungi Thailand tiga bulan lalu.

Dia yang beragama Islam dan menetap di bandar Kayseri, tengah Turki mengakui terkejut dinamakan sebagai suspek.

Pihak berkuasa masih belum mendedahkan motif serangan.

Sumber: Utusan Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here