Kira-kira 20 tahun lalu, ketika berada di darjah enam di Sekolah Kebangsaan Seri Besout, ada satu peristiwa yang tidak dapat dilupakan penulis sehingga ke hari ini.

Kisah itu, kesemua rakan kelas termasuk penulis ditampar oleh Cikgu Taja di atas pentas di hadapan murid semasa perhimpunan pagi.

Lempangan itu umpama hadiah selepas meraih kejayaan mengharumkan nama sekolah. Cuma bezanya, keadaan sunyi sepi dan hanya kedengaran bunyi lempangan. Tiada siapa yang sanggup untuk mengeluarkan suara.

Pedih. Masing-masing bergilir-gilir menyuakan pipi untuk menerima hadiah berkenaan. Semua kami membisu dan kaku.

Kenapa ditampar? Ada sebabnya. Kami dianggap sudah besar kepala. Tidak menjalankan rutin mingguan bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah.

Pada hari itu kami ‘kantoi’ melepak di bawah pohon buluh di taman sekolah sambil menyanyikan lagu popular Spoon, Rindu Serindu Rindunya.

Selepas menerima hukuman itu, kami membisu sesama sendiri. Ada juga rakan-rakan yang rasa tidak berpuas hati. Biasalah, budak-budak!

Penulis pula, ingatkan kejadian itu habis di situ. Balik rumah kunci mulut sebab takut dapat hadiah kedua. Namun, sebaik melangkah masuk, diri ini bagaikan menerima tembakan daripada pelbagai arah.

Sedap ke kena makan penampar? Kamu nak lagi ke?; Dua soalan daripada abah itu masih diingati sehingga ke hari ini. Niat hati ingin berahsia tetapi abah pula lebih pantas mendapatkan maklumat.

Di sini jelas menunjukkan dua perkara yang dapat disimpulkan. Pertamanya, guru ada tanggungjawab besar untuk membentuk dan mencegah pelajar daripada terus melakukan kesilapan. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya.

Kesalahan kami mungkin besar. Kalau dibiarkan kami mungkin akan lebih besar kepala.

Keduanya disini adalah hubungan ibu bapa dengan guru. Hubungan mereka sebelum ini rapat. Permuafakatan antara mereka tidak dapat dinafikan. Jika tidak masakan abah penulis boleh tahu anaknya dilempang.

Namun hari ini, guru tidak boleh lagi untuk bertindak sama seperti guru terdahulu. Mereka ada operasi prosedur standard (SOP) berkaitan hukuman yang perlu diikuti.

Jika tidak, hilang kerja, digantung? Mungkin boleh berlaku dalam situasi pada hari ini. Episod Cikgu Azizan yang berlaku pada hari ini menjadi pembuka mata buat semua.

Apakah akan ada lagi tindakan ibu bapa terhadap guru? Kita tidak tahu. Mengapa semuanya berlaku? Ikuti Sorot kali ini menyelami apa yang dirasakan guru dan ibu bapa.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here