Susah

Sesetengah rakyat Malaysia beranggapan bahawa zaman gemilang Malaysia sebagai negara Muslim progresif telah tamat setelah mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan pada tahun 2003. Di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir, Malaysia telah mengalami zaman pemodenan dan berubah wajah daripada sebuah negara ‘kampung’ kepada sebuah negara yang dihormati dengan kemudahan infrastruktur yang moden, jaringan jalan raya dan pengangkutan yang mantap, kualiti hidup yang lebih baik, akses yang lebih mudah kepada pendidikan dan semestinya, pembinaan ikon moden Malaysia yang masyhur – Menara Berkembar Petronas. Banyak lagi senarai kejayaan lain yang tidak sekadar hanya terhenti di situ.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak telah menyeru pengguna media sosial untuk menyebarkan berita positif mengenai negara. Sejak beliau diangkat sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, Malaysia telah dibelenggu pelbagai kontroversi seperti kehilangan dua pesawat Penerbangan Malaysia pada tahun 2014, kenaikan kos sara hidup, kejatuhan nilai ringgit, pengenalan GST yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan skandal 1MDB yang menghantui sehingga kini.

Walaubagaimanapun, semuanya tidaklah buruk-buruk belaka. Di bawah pentadbiran terkini, Malaysia telah memulakan/ menyiapkan beberapa projek pembangunan prasarana mega di pelbagai pelusuk negara seperti berikut:

  • Projek Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah, jambatan sepanjang 24km menghubungkan Batu Maung dan Batu Kawan di Pulau Pinang pada tahun 2014 – jambatan terpanjang di Asia Tenggara;
  • Penambahbaikan besar-besaran sistem rel bersepadu Lembah Klang menerusi penambahan stesen-stesen tambahan ke atas sistem LRT sedia ada dari Sri Petaling dan Kelana Jaya ke Putra Heights, pengoperasian sistem Sunway BRT dan pembukaan penuh MRT aliran Sungai Buloh-Kajang bulan depan;
  • Perasmian gedung KLIA2 sebagai hab utama penerbangan tambah murah di Kuala Lumpur pada tahun 2014, menggantikan terminal usang Low Cost Carrier Terminal (LCCT);
  • Pembinaan dua bangunan yang bakal menggantikan Menara Berkembar Petronas sebagai struktur-struktur tertinggi di Malaysia iaitu ‘Signature Tower’ di Bandar Malaysia dan KL118 (yang bakal siap pada tahun 2018-2019);
  • Perkhidmatan pusat setempat UTC dan RTC yang memudahkan urusan penduduk dengan pejabat-pejabat kerajaan yang dibangunkan di seluruh negara;
  • Pembangunan Projek RAPID Pengerang yang sudah hampir 60% selesai bakal menjadi hab petrokimia terbesar di Asia serta Iskandar Malaysia – pemangkin kepada kemajuan dan perkembangan ekonomi wilayah selatan Johor;
  • Pengoperasian Terminal Bersepadu Selatan pada tahun 2011, terminal bersepadu perkhidmatan bas dan rel menggantikan Stesen Pudu dan Putra di Kuala Lumpur.
  • Pembangunan Projek Lebuhraya Pan-Borneo sepanjang 1,073km menghubungkan Sabah dan Sarawak yang bakal tersedia pada hujung 2021.
  • Perkhidmatan Sistem Keretapi Elektrik yang dibuka pada tahun 2010 sepanjang 755km dari Padang Besar ke Gemas yang menghubungkan Kuala Lumpur ke sempadan Thailand di Padang Besar dalam masa 5 jam sahaja;
  • Pembangunan Projek Laluan Rail Pantai Timur (ECRL) menghubungkan Gombak dan Kota Bharu yang bakal siap pada tahun 2023; dan
  • Pembangunan projek Keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura yang dijadualkan selesai pada tahun 2026.

Selain ini, Malaysia tidak kurang hebatnya dalam pelbagai aspek seperti yang diakui oleh pelbagai statistik global:

  • Kuala Lumpur – salah sebuah kota paling banyak dikunjungi pelancong di dunia seperti yang dilaporkan oleh akhbar Telegraph pada tahun 2017;
  • Kuala Lumpur and Johor Bahru – kota paling murah di Asia Tenggara untuk didiami seperti yang dilaporkan di akhbar The Star pada 22 Mac 2017;
  • 5 universiti-universiti Malaysia sekarang adalah ‘top 300’ di dunia, seperti dilaporkan oleh New Straits Times pada 8 Jun 2017.
  • Malaysia memiliki sistem jalan raya antara terbaik di dunia, mengatasi Sweden dan setaraf Korea Selatan, berdasarkan laporan yang diterbitkan oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada tahun 2015 dan 2017.
  • Dari segi infrastruktur pengangkutan, Malaysia ditempatkan oleh WEF di tangga ke 11 daripada 138 negara di seluruh dunia pada tahun 2017 – sesuatu yang kebanyakan rakyat Malaysia sendiri tidak menyedari.
  • Malaysia ditempatkan di tangga 29 daripada 159 negara oleh Indeks Keamanan Global pada tahun 2017 mengalahkan United Kingdom, Korea Selatan, Perancis, Indonesia dan Amerika Syarikat – menunjukkan Malaysia adalah antara negara yang paling aman seantero dunia.
  • Terdapat laporan oleh media atas talian tempatan yang menyebut Malaysia sebagai negara kedua paling korup di dunia. Ini mungkin terjadi akibat laporan rasuah bertalu-talu di akhbar dan media sosial terutamanya melibatkan 1MDB dan Perdana Menteri.

Akan tetapi, berbeza dengan kepercayaan ‘popular’, Corruption Transparency Index 2016 yang dikeluarkan oleh Transparency International meletakkan Malaysia pada tangga ke 55 daripada 176 negara di seluruh dunia, mencadangkan bahawa Malaysia sebenarnya salah satu negara paling tidak korup di rantau Asia-Pasifik. Lagi pula, Malaysia tidak pun disenaraikan sebagai salah sebuah negara paling korup di dunia, seperti dilaporkan oleh CNBC pada 24 Januari 2017.

  • Rakyat Malaysia memiliki pasport kelima paling kukuh di dunia seperti yang disenaraikan oleh Passport Index pada tahun 2017. Rakyat Malaysia mempunyai akses bebas-visa/visa ketika ketibaan ke 155 negara di seluruh dunia. Kedudukan utuh ini adalah representasi terhadap reputasi baik Malaysia di mata banyak negara-negara seantero dunia.
  • Rakyat Malaysia dikatakan mempunyai kebolehan bertutur bahasa Inggeris terbaik di Asia berdasarkan indeks yang disusun oleh English First (EF) pada tahun 2015, melebihi Singapura dan Korea Selatan.

Ketepikan kepercayaan politik kita, percaya atau tidak, Malaysia adalah sebuah negara yang hebat. Terdapat banyak perkara baik mengenai Malaysia, negara yang dibina bersama-sama oleh semua rakyat Malaysia, generasi muda mahupun generasi emas yang semuanya berkebolehan belaka.

Seseorang itu tidak perlu menyayangi Perdana Menteri untuk menyayangi negara. Parti pemerintah dan Perdana Menteri datang dan pergi tetapi Malaysia akan sentiasa kekal sebagai rumah kita, kebanggaan kita, negara kita yang kita sayangi.

Adalah menjadi kewajipan setiap rakyat Malaysia untuk tidak berkata buruk secara berlebihan mengenai negaranya sendiri. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran terkini, memburukkan negara bukanlah cara penyelesaian sesuai kerana kita boleh mengamalkan hak kita di peti undi.

Mungkin naluri sesetengah manusia lebih gemar menyebarkan berita-berita buruk berbanding berita-berita yang positif. Namun begitu, tak salahkan sekiranya kita tanamkan sedikit sebanyak perasaan berbangga dengan negara sendiri? Tidak semua rakyat yang berbangga dengan negara sendiri adalah ‘pemakan dedak’.

Dengan segala fakta-fakta yang telah diberikan di atas, susah sangatkah untuk kita menyebarkan berita positif mengenai Malaysia?

1 COMMENT

  1. Sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan pentadbiran terkini, memburukkan negara “bukanlah cara penyelesaian sesuai” kerana kita boleh mengamalkan “hak kita di peti undi”.

    sila jawab kenapa malaysia tiada referendum tanya soalan di kertas undi mengenai apa-apa pindaan perlembagaan? ohh memang senang sungguh erkk nak pinda perlembagaan.. tak payah tanya soalan kepada jutaan pengundi.. rasa nak pinda perlembagaan, pinda sajalah suka hati.. kemudian expect rakyat mesti sembah kerajaan dan patuh dengan undang-undang yang diluluskan kerajaan.. ingat pemimpin kerajaan ni maksum ke tak buat dosa? pemimpin kerajaan ni pegang amanah bukannya bermegah-megah menyalahgunakan kuasa.. jika semua pemimpin salah guna kuasa, habis lingkuplah dunia ni.. cakap biar serupa bikin.. mana referendum?? bila nak buat referendum??

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here